PETALING JAYA: Kempen ‘Malaysian Malaysia’ oleh DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bukan untuk menghapuskan semua kaum di Malaysia.
Veteren DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, beliau difitnah pada kempen PRK apabila Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menuduhnya kempen itu untuk menghapuskan semua kaum di Malaysia.
“Kempen fitnah itu penuh dengan penipuan, kepalsuan oleh pemimpin Pas disebabkan kehilangan taringnya. Kempen ‘Malaysian Malaysia’ oleh DAP bukan untuk menghapuskan kumpulan kaum dan agama di Malaysia tetapi untuk memenuhi visi dan falsafah seperti yang digariskan oleh rukun negara.
“Kempen itu untuk mencapai perpaduan yang lebih sempurna di kalangan seluruh masyarakatnya, untuk memelihara cara hidup demokrasi, untuk mewujudkan masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan sama.
“Selain itu, untuk menjamin pendekatan liberal terhadap tradisi budayanya yang kaya dan pelbagai dan untuk membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu beliau berkata, ketika terpulang kepada ADUN baharu, Pang Sock Tao, untuk terus mencipta sejarah khususnya bagi menjadikan DUN tersebut sebagai pusat seni dan budaya di Malaysia dan Nusantara.
“Selain itu, memastikan KKB adalah langkah pertama dalam transformasi politik Malaysia berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara di mana rakyat Malaysia bersatu dengan ideologi “Malaysian First”, dengan Anwar Ibrahim terus menjadi Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-16.
“Seterusnya menunjukkan kepada Malaysia dan dunia bahawa walaupun rakyat kekal secara berasingan sebagai Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan atau Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikkh, Tao, kita mempunyai ikatan yang sama sebagai rakyat Malaysia dan berdedikasi untuk menyumbang kepada keamanan global, persefahaman dan keharmonian melalui dialog dan persefahaman antara budaya, agama dan antara tamadun,” katanya.











