ISKANDAR PUTERI: Laporan portal berita antarabangsa yang mendakwa sebuah kasino bakal diwujudkan di Forest City, dekat sini bertujuan membina persepsi negatif untuk menggagalkan kawasan pembangunan tersebut, seperti yang pernah dilakukan pada tahun 2018.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, dakwaan itu adalah satu fitnah liar dan tidak benar bagi menjejaskan imej negeri ini.
“Berita berhubung pembinaan dan pengurusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ini tidak ubah seperti bau busuk tidak berbangkai, fitnah tidak masuk akal melainkan hanya berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor.
“Ia juga seolah-olah mengulangi usaha membina persepsi negatif untuk menggagalkan pembangunan Forest City seperti yang dilakukan sesetengah pihak tertentu pada tahun 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah.
“Sebaliknya, saya yakin dengan komitmen diberikan kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang adalah masa terbaik untuk bangunkan Forest City,” katanya menjawab soalan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini
Sebelum ini, Onn Hafiz juga dilaporkan berkata tiga kasino yang pernah beroperasi di negeri ini telah diarah tutup sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim.
“Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” tegasnya.
Terdahulu, portal berita Bloomberg dengan memetik sumber melaporkan bahawa Perdana Menteri telah bertemu dengan dua hartawan terkemuka bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.
Laporan itu mendakwa Anwar dan beberapa pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan tempatan telah mengadakan makan tengah hari dan bermesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia di kawasan berkenaan.
Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri turut menyelar laporan portal berita antarabangsa itu dan mahu pihak yang melakukan fitnah itu harus dikenakan tindakan undang-undang termasuk dihukum penjara. – UTUSAN










