KLUANG: Kasih ibu sampai hujung nyawa. Itulah yang dapat menggambarkan kasih sayang seorang ibu tunggal yang tidak pernah berputus asa merawat anaknya yang koma akibat kemalangan sejak tujuh tahun lalu.
Walaupun terpaksa mengikat perut, namun Shapidah Shahid, 50, reda dengan situasi itu supaya wang perbelanjaan bulanan perubatan anaknya mencukupi.
Dengan berniaga kuih-muih sejuk beku selain sarapan pagi dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan sedangkan perbelanjaan perubatan bulanan anaknya, Mohd. Zaki Hanapi, 23, lebih RM1,000.
Walaupun mendapat bantuan bulanan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing RM500 sebulan, namun tidak mampu menampung keperluan kesihatan anaknya itu.
“Anak saya koma selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada usia 16 tahun dan sejak itu dia hanya mampu terbaring sehingga kini. Untuk perbelanjaan membeli susu khasnya sahaja memerlukan RM1,060 sebulan dan jumlah itu tidak termasuk lampin pakai buang, tisu basah, minyak urut, picagari dan ubat cuci luka,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Kaseh, di sini semalam.
Menurut Shapidah, jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan menukar tiub salur makanan tiga bulan sekali serta tiub membuang kahak atau pernafadan enam bulan sekali selain tambang ambulans untuk rawatan susulan di Hospital Kluang.
Dia turut membayar rumah sebanyak RM220 sebulan selain bil elektrik dan air kira-kira RM200 sebulan kerana terpaksa menggunakan pendingin hawa bagi kegunaan anaknya.
“Bukan untuk mengharap simpati, namun selagi hayat dikandung badan, dia (Zaki) tetap akan diberikan rawatan semampunya dengan harapan supaya boleh kembali sihat walaupun hanya sekadar pulih daripada koma,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Maybank Shapidah bernombor 151061131296 atau menghubunginya menerusi talian 011-51728056.









