Johor tingkat promosi pelancongan kesihatan - Utusan Malaysia

Johor tingkat promosi pelancongan kesihatan

ONN HAFIZ Ghazi (tengah) bergambar bersàma-sama jururawat sempena Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor 2024 di Kompleks Sukan, Hospital Permai, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sektor kesihatan akan terus dipromosikan sebagai salah satu produk pelancongan di negeri ini, khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, antara pasaran luar yang telah menunjukkan minat tinggi terhadap sektor kesihatan negeri ini adalah Kepulauan Riau, Indonesia.

“Saya baharu pulang dari lawatan kerja ke Kepulauan Riau. Sepanjang lawatan itu, saya terima maklum balas positif tentang sektor kesihatan negeri kita.

“Mereka minta kita pertimbangkan kerjasama antara kepulauan Riau dan Johor supaya mutu kesihatan di Riau dapat dipertingkatkan,” katanya pada Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor di Kompleks Sukan, Hospital Permai, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohtar Pungut.

Dalam program berkenaan, Onn Hafiz turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM300,000 kepada Persatuan Jururawat Johor untuk kegunaan persatuan tersebut.

Sementara itu, Tian Soon memberitahu, sektor pelancongan kesihatan telah menyumbang sebanyak RM143 juta bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri ini pada tahun lalu.

“Kerajaan negeri juga sedang bekerjasama dengan pemain industri kesihatan swasta di negeri ini untuk meningkatkan angka berkenaan pada tahun ini dan tahun akan datang, khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

“Hospital swasta di negeri ini juga telah melakukan pelbagai pelaburan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan mereka kepada pesakit termasuk menambah katil dan wad untuk menempatkan lebih ramai pesakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×