JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri merancang menganjurkan lebih banyak program sukan bertaraf antarabangsa dalam usaha menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan sukan pilihan di rantau ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd. Hairi Mad Shah berkata, acara sukan bertaraf antarabangsa yang akan diadakan dalam masa terdekat ialah sukan lasak Ironman di Desaru, Kota Tinggi pada bulan ini.
Katanya, penganjuran sukan bertaraf antarabangsa itu mampu menarik penyertaan ramai peserta luar negara, sekali gus melonjakkan sektor pelancongan.
“Selain itu, kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri (MSN) dan KPRJ Sports juga akan menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa.
“Berbeza seperti dua tahun sebelum ini acara berbasikal seumpama itu diadakan bersama Le’tape Malaysia, tetapi buat julung kali ia dianjurkan kerajaan negeri,” katanya selepas melepaskan peserta Larian Amal Pergerakan Pemuda Malaysia (YMM) Johor Ke-10, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon dan Presiden YMM, Brevia Pan Woon Shien.
Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri juga akan menganjurkan acara sukan berskala besar seperti Johor Maraton sejauh 21 kilometer pada Ogos ini, namun venuenya belum dimuktamadkan sama ada di bandar raya ini atau Iskandar Puteri.
Terdahulu, Larian Amal YMM yang disertai kira-kira 1,000 orang itu turut berjaya mengumpul yuran penyertaan sebanyak RM48,000 yang akan digunakan bagi aktiviti amal di sekitar Johor serta program latihan sukarelawan. – UTUSAN










