ISKANDAR PUTERI: Johor mencatatkan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM31 bilion tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata, berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dalam tempoh yang sama, Johor turut merekodkan pelaburan langsung domestik (DDI) berjumlah RM12.054 bilion.
Justeru, kerajaan negeri optimis dengan perkembangan sektor pelaburan dan menjangkakan prestasi yang lebih baik pada tahun ini.
“Daripada sebanyak 751 projek pelaburan yang telah diluluskan, ia telah mewujudkan 19,053 peluang pekerjaan di negeri ini.
“Berdasarkan keseluruhan pelaburan yang direkodkan tahun lalu, sektor perkilangan menjadi penyumbang tertinggi dengan merekodkan pelaburan berjumlah RM14.617 bilion bersamaan 33.95 peratus,” katanya menjawab soalan Hahasrin Hashim (BN-Panti) dan Baharudin Mohamed Taib (BN-Permas) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari
Ting Han (MCA-Paloh) berkata, FDI bagi sektor perkilangan adalah RM9.434 bilion bersamaan 64.54 peratus dengan sumber utama pelaburan asing adalah dari Singapura, Taiwan dan Amerika Syarikat.
Jumlah DDI sektor perkilangan pula adalah RM5.183 bilion bersamaan 35.46 peratus dengan sub-sektor utama pada tahun lepas adalah elektrik dan elektronik (37 projek, RM4.580 bilion), jentera dan peralatan (14 projek, RM2.464 bilion) serta kimia dan produk kimia (22 projek, RM1.614 bilion).
Katanya, penyumbang kedua tertinggi bagi pelaburan tahun lalu ialah sektor perkhidmatan dengan RM28.435 bilion.
FDI bagi sektor perkhidmatan adalah RM21.568 bilion bersamaan 75.85 peratus dengan sumber utama adalah dari Singapura, China dan Korea Selatan, manakala jumlah DDI sektor perkhidmatan adalah RM6.867 bilion.
“Perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meliputi pusat data, perkhidmatan perkongsian awan, reka bentuk perisian dan sistem serta kandungan kreatif dan digital merupakan sub-sektor penyumbang utama bagi sektor perkhidmatan,” katanya. – UTUSAN










