SEPANG: “Jangan ‘ambil’ aku dulu ya Allah, izinkan aku tunaikan rukun Islam kelima dahulu.”
Itu ungkapan doa dipanjatkan pelakon veteran, Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, sebelum berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan haji semalam.
Wan Maimunah merupakan seorang daripada 353 jemaah haji KT4 yang berlepas ke Madinah kira-kira pukul 6.30 pagi semalam menerusi penerbangan Saudi Airlines sebelum dijangka mendarat pada pukul 10.25 pagi waktu tempatan.
Menurut Wan Maimunah, beliau tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima tawaran menunaikan haji tahun ini kerana tidak menyangka doanya dimakbulkan Allah dan ‘diundang’ menjadi tetamuNya.
“Ya Allah, sebelum jasad aku ditiupkan roh masuk, memang sudah ada tarikh bila ia akan diambil, tetapi semua atas kehendak Mu.
“Janganlah ambil aku dahulu, izinkan aku menunaikan rukun Islam kelima , sempurnakanlah aku untuk menunaikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Haji di MovenPick di sini awal pagi semalam.
Mengulas lanjut, Wan Maimunah yang mesra disapa ibu juga tidak menyangka akan mendapat hadiah istimewa sempena Hari Ibu apabila akan mendarat di Tanah Suci sebagai tetamu Allah.
“Allahuakbar, ibu tidak ingat Hari Ibu, yang ibu ingat hari ini, awal pagi, insya-Allah ibu akan sampai jika diizinkan Allah.
“Terima kasih Ya Allah, pada tahun ini, aku benar-benar dapat hadiah daripadaMu, Alhamdulillah,” luahnya dalam nada sebak.
Terdahulu, seramai 353 jemaah haji KT4 selamat berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kira-kira pukul 6.30 pagi.
Tahun ini, seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima pada musim kali ini dengan wukuf di Arafah dijangka pada 15 Jun depan. – UTUSAN










