Isu pil kurus: Syarikat kalah saman terhadap Sinar Karangkraf - Utusan Malaysia

Isu pil kurus: Syarikat kalah saman terhadap Sinar Karangkraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengeluar produk kosmetik dan minuman kesihatan kalah dalam tuntutan samannya terhadap Sinar Karangkraf Sdn. Bhd. dan dua yang lain berhubung artikel bergambar berkaitan produk kurus yang didakwa berunsur fitnah, tiga tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan menolak tuntutan saman Nanyqish Legacy Sdn. Bhd. terhadap ketiga-tiga defendan selepas berpuas hati syarikat itu (plaintif) gagal membuktikan saman tersebut.

Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd. Abbas turut memerintahkan syarikat berkenaan membayar kos RM20,000.

Dalam tuntutan itu, Sinar Karangkraf dinamakan sebagai responden ketiga manakala wartawan Adila Sharinni Wahid dan Pengarang Sinar Harian Digital, Ruzy Adila Idris masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.

Saman tort fitnah itu difailkan berdasarkan artikel bergambar (P1) bertarikh 14 April 2021 bertajuk `Produk Kurus Dipercayai Mengandungi Racun Sibutramine Dirampas’ yang dilaporkan dalam laman sesawang akhbar Sinar Harian.

Artikel itu memaparkan gambar suatu produk yang didakwa plaintif miliknya yang dikatakan telah dirampas oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Abazafree berpuas hati, artikel bergambar itu ditulis berdasarkan kenyataan media Pengarah JKNK di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Kota Bharu.

Bagaimanapun, beliau merumuskan Nanyqish Legacy gagal membuktikan artikel itu (P1) mengandungi kenyataan yang merujuk kepada plaintif kerana nama syarikat tidak dinyatakan dalam artikel berkenaan.

Selain itu, mahkamah berpendapat, tiada sebarang keterangan berdokumen yang dikemukakan oleh plaintif untuk membuktikan produk berkenaan yang menjadi teras tuntutan, adalah miliknya.

Ujarnya, artikel itu memuatnaik gambar dari Risalah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari akaun Facebook JKNK dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kelantan yang menyatakan dengan jelas bahawa pengunaan ubat kurus atau pil pelansingan mengandungi sibutramine.

Hakim Mohamad Abazafree turut mendapati, saksi plaintif kedua (SP2) tidak membuat sebarang tuntutan atau tindakan terhadap JKNK dan Bahagian Farmasi negeri kerana ketika itu syarikat berkenaan dalam proses mendaftarkan salah satu produknya dengan kementerian.

“Mahkamah berpandangan ketiadaan aduan, tuntutan atau tindakan diambil terhadap pihak yang mencipta, mereka dan menyiarkan Risalah KKM (ketika itu) menunjukkan plaintif bersetuju risalah itu tidak merujuk kepada syarikat tersebut,” ujar beliau.

Hakim Mohd. Abazafree selanjutnya berpendapat, plaintif hanya mengemukakan keterangan SP1 (ahli kimia) dan SP2 (pemegang saham syarikat), namun tiada saksi bebas lain dipanggil memberi keterangan untuk menyokong tuntutan itu.

Mahkamah berpendirian, keterangan SP2 bersifat berat sebelah manakala keterangan saksi bebas sama ada dalam kalangan pembaca mahupun ejen atau stokis adalah penting bagi menyokong dakwaan itu.

Beliau turut berpandangan, artikel bergambar tersebut hanya laporan daripada sidang media manakala risalah yang dimuatnaik bertujuan pemakluman kepada masyarakat.

“Jika dibaca keseluruhannya secara semulajadi dan makna biasa, perkataan yang diadukan tidak menyebabkan pembaca berpandangan bahawa plaintif mengeluarkan produk yang salah.

“Atas imbangan kebarangkalian, plaintif gagal membuktikan bahawa artikel tersebut bersifat memfitnah dan memenuhi elemen fitnah,” ujar beliau dalam penghakiman bertulis yang diperolehi pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.

Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Abazafree turut berpuas hati artikel itu mengandungi fakta dan maklumat benar berdasarkan sumber yang sahih iaitu daripada Pengarah JKNK dan akaun sosial media rasmi milik jabatan dan bahagian farmasi negeri.

“Artikel itu merujuk kepada sumber maklumat yang boleh dipercayai, jadi tiada keperluan defendan-defendan menemubual atau mendapatkan apa-apa maklum balas daripada plaintif.

“Defendan-defendan mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang dan moral untuk memaklumkan kepada masyarakat dengan menyiarkan berita berkaitan produk mengandungi racun yang boleh mendatangkan kemudaratan.

“Oleh yang demikian plaintif gagal membuktikan bahawa wujud sebarang niat jahat oleh defendan-defendan terhadapnya,” ujar hakim berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN