Gajah liar ‘kacau’ 1,000 penduduk Orang Asli

Gajah liar ‘kacau’ 1,000 penduduk Orang Asli

KELIBAT gajah liar yang sempat dirakam penduduk Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik di sini hidup dalam kebimbangan selepas seekor gajah liar kerap berkeliaran di kawasan perkampungan itu sejak tiga bulan lalu.

Penduduk mendakwa, gajah liar jantan itu bukan sahaja berani menghampiri kawasan penempatan tetapi turut merosakkan tanaman penduduk sehingga memberi kesan kepada sumber pendapatan masyarakat Orang Asli.

Seorang penduduk, Mohd. Sani Nahtiman berkata, terbaharu, keluarganya dikejutkan dengan kemunculan gajah liar di hadapan rumah pagi semalam.

Katanya, dia sempat merakam kelibat gajah itu yang sedang me­rosakkan pokok kelapa yang dita­namnya.

“Semasa ingin keluar rumah kira-kira pukul 7.30 pagi, saya terpe­ranjat apabila melihat seekor gajah sedang makan tanaman.

“Sebenarnya masalah ancaman gajah liar ini sudah berlarutan sejak tiga bulan lalu sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk. Kebanyakan penduduk di sini menyara hidup dengan bercucuk tanam. Apabila dirosakkan gajah liar, sumber makanan kami akan terputus,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Along Busu, 54, berkata, kehadiran gajah liar terbabit membimbangkan penduduk untuk hantar anak ke sekolah pada waktu pagi.

Katanya, sudah beberapa kali penduduk terserempak dengan haiwan liar itu yang sedang berkeliaran dalam kawasan kampung.

“Kami bimbang sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini sehingga boleh mengancam nyawa penduduk.

“Beberapa laporan sudah di­buat kepada pihak berwajib sebelum ini. Saya harap ada tindakan segara daripada mereka bagi menjaga keselamatan kami penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN