PETALING JAYA: Dewan Rakyat masih belum menerima sebarang notis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung status keahlian enam ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, oleh demikian, kedudukan enam wakil rakyat berkenaan buat masa kini kekal sebagai ahli Parlimen.
“Selagi ia tidak melibatkan Parlimen, saya tidak akan terlibat dan ambil pusing sebab itu isu politik, isu pentadbiran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), hinggalah mereka selesai masalah mereka dan akhirnya datang kepada saya untuk meminta pandangan atau keputusan, waktu itu saya akan buat.
“Sekarang tidak ada apa-apa berlaku lagi, notis apa pun tak terima, satu surat dan e-mel pun tak ada. Saya anggap tak ada apa-apa berlaku selagi benda itu tidak datang ke meja saya, itu hak mereka,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada House Committee of The Legislative Council of The Hong Kong Special Administrative Region (LEGCO) di Bangunan Parlimen, semalam.
Pada 2 April lalu, RoS meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu bagi membolehkan parti itu menggugurkan keahlian wakil rakyat yang melanggar arahan dan perlu mengosongkan kerusi apabila bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.
Enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari juga dilaporkan berbuat demikian. – UTUSAN











