Enam model Perodua, tiga model Toyota penuhi piawaian keselamatan UN

Enam model Perodua, tiga model Toyota penuhi piawaian keselamatan UN – Loke

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan enam model Perodua dan tiga model Toyota mematuhi piawaian keselamatan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) seperti ditetapkan di bawah prosedur Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) semasa.

Menterinya, Anthony Loke berkata, enam model Perodua itu termasuk Axia (generasi pertama), Axia (generasi kedua), Alza (generasi kedua), Aruz, Ativa, Bezza dan Myvi manakala, Toyota pula model Rush, Vios dan Veloz.

Beliau berkata, sebelum ini, sembilan model kenderaan itu berdepan isu ketidakaturan prosedur pengujian keselamatan kenderaan oleh Daihatsu Motor Corporation (DMC) Japan.

“MOT telah mengarahkan pengujian semula dilaksanakan kepada Perodua dan Toyota yang berkaitan dengan DMC Japan membabitkan enam pematuhan Peraturan UN dan ia dilakukan pada Mac lalu.

“Skop Peraturan UN yang terlibat bagi tujuan pengujian semula tersebut adalah door latches, door retention component, pedestrian protection, seats anchorage, seat-head restraints, brake system, frontal impact dan side impact.

“Dianggarkan sejumlah 1.7 juta unit kenderaan bagi kedua-dua pembuat kenderaan terlibat dengan isu tersebut di dalam pasaran Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Loke berkata, bagi memastikan ketelusan dan keterbukaan, kesemua laporan pengujian semula tersebut dipaparkan kepada umum menerusi laman sesawang JPJ di https://bit.ly/JPJDaihatsu.

Menurutnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan meneruskan pemantauan secara tegas ke atas kedua-dua pengeluar kenderaan tersebut serta pihak DMC bagi memastikan mereka telah melaksanakan tindakan penambahbaikan yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, sebanyak 575 unit kenderaan model OMODA 5 buatan Chery telah selesai diperiksa susulan isu kegagalan gandar pada model berkenaan.

Katanya, beliau dimaklumkan Chery Corporate Malaysia Sdn. Bhd. (Chery) telah memanggil 600 unit model itu berkuat kuasa 3 Mei lalu dan masih berbaki 25 unit belum diperiksa.

“Chery telah menghubungi baki 25 unit lagi pemilik kenderaan Chery Omoda 5 bagi temujanji pemeriksaan dengan jangkaan aktiviti ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya pada akhir Jun ini,” katanya.

Katanya, JPJ akan memantau pelaksanaan proses pemanggilan semula ini dan komited memastikan kesemua unit terlibat dibuat pemeriksaan dan disahkan selamat serta proses penggantian komponen gandar dilaksanakan bagi kenderaan yang terkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN