PETALING JAYA: Empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal.
Sumber yang rapat dengan pusat jantung berkenaan mendakwa, kira-kira 1,000 prosedur pembedahan jantung tidak dapat dijalankan susulan masalah tersebut.
Dakwanya, aduan sudah banyak kali dibuat kepada pihak bertanggungjawab, namun masih tiada penyelesaian sehingga kini.
Difahamkan, bangunan baharu pusat jantung itu dibina dengan kos RM546 juta dan lengkap dengan dewan bedah hidbrid serta peralatan terkini.
Sumber itu mendakwa, masalah turut berpunca daripada pertukaran pengurusan dewan bedah berkenaan yang sepatutnya berada di bawah tanggungjawab pakar bedah jantung, tetapi diambil alih oleh pakar bius.
“Jadi, petugas terpaksa guna semula bilik bedah di bangunan lama. Namun, kini paling kritikal apabila semua bilik bedah (bangunan lama) sudah tidak boleh digunakan sebab panas (suhu tinggi)” dakwanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pembedahan jantung adalah kompleks dan berisiko tinggi dengan suhu bilik pembedahan perlu berada antara 15 hingga 19 darjah Celsius bagi mengelak risiko jangkitan kuman semasa prosedur dilakukan.
Mengulas lanjut, sumber itu mengakui, keadaan yang berlaku amat menyedihkan, namun pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pesakit (yang menunggu giliran untuk pembedahan).
Jelasnya, sebanyak lapan kes pembedahan sehari boleh dilakukan jika keempat-empat dewan bedah itu boleh berfungsi, berbanding hanya tiga kes (jika hanya sebuah dewan bedah beroperasi).
“Sekarang ini, senarai menunggu lebih kurang 1,000 kes. Jika pesakit didiagnos sakit jantung dan perlukan pembedahan, mereka perlu tunggu enam bulan hingga setahun.
“Apa-apa boleh berlaku dalam tempoh itu. Sedangkan, tempoh maksimum menunggu pembedahan sepatutnya hanya tiga hingga enam bulan,” dakwanya.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi sumber mendakwa, Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat itu juga tidak dibuka sepenuhnya, dan hanya lapan daripada 20 Unit Rawatan Koronari (CCU) beroperasi.
“Sebab kita kekurangan hampir 100 jururawat. Bangunan baharu juga hanya buka 80 peratus untuk wad umum. Hari ini ada hampir 20 pesakit `terdampar’ di Jabatan Kecemasan, tak ada katil di wad.
“Purata tempoh menunggu di Jabatan Kecemasan sekitar enam jam hingga tiga hari nak dapat katil. Terutamanya kes tenat, sebab tidak ada katil ICU atau CCU,” dakwanya.
Sementara itu, jurucakap Hospital Sultan Idris Shah ketika dihubungi, meminta pertanyaan berkaitan masalah pusat jantung bertaraf dunia itu kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).
“Hanya Pengarah Kesihatan Negeri yang akan menjawab pertanyaan tersebut,” jelasnya.
Sehingga berita ini ditulis, JKNS belum memberikan sebarang respon terhadap e-mel yang dihantar.
Dalam pada itu, seorang pesakit jantung mendakwa, pembedahannya yang dijadualkan 6 April lalu, telah ditangguhkan berulang kali disebabkan ketiadaan dewan bedah dan dewan bedah tidak berfungsi.
Malah dakwanya, seorang pesakit di wad sama yang menunggu giliran, meninggal dunia aibat serangan jantung, sebelum sempat pembedahan dilakukan.
“Saya menggesa Hospital Sultan Idris Shah mengambil tindakan segera dan memberi sokongan kepada pesakit yang menunggu pembedahan,” katanya. – UTUSAN










