PETALING JAYA: Kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 tahun ini meningkat sebanyak 2,461 berbanding 2,338 kes pada minggu sebelumnya dengan mencatatkan dua kematian.
Jumlah itu menjadikan, secara keseluruhannya, sebanyak 42 kematian dicatatkan dengan 59,681 kes pada tahun ini berbanding 28 kematian dan 43,619 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah lokaliti hotspot yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 adalah sebanyak 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 44 lokaliti di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat); Sarawak (empat); Kedah (tiga), Perak (dua), Pulau Pinang (satu) dan Negeri Sembilan (satu).
“Bagi survelan chikungunya, terdapat satu kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-20. Jumlah kumulatif kes sehingga kini adalah 25 kes. Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu sama.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,021 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Muhammad Radzi berkata, pihak sekolah dan kontraktor pembersihan dilantik disarankan untuk melakukan beberapa tindakan bagi mengawal dan menurunkan populasi nyamuk di sekolah sempena musim cuti ini.
“Langkah pencegahan denggi sebelum cuti sekolah adalah melakukan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan Aedes di dalam mahu pun luar bangunan sekolah secara berkala.
“Buang semua bekas atau sampah yang boleh menakung air. Tutup pam dan mangkuk tandas dengan rapat. Pastikan longkang dan palong air hujan tidak tersumbat.
“Meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik di dalam bekas yang menakung air yang tidak boleh dihapuskan seperti kolah air, pam tandas, kolam buatan dan sebagainya,” katanya.










