MELAKA: Seramai 270 pelajar sekitar Melaka menyertai program Future Tech dalam usaha meningkatkan kemahiran asas robotik dan mengintegrasikan teknik pengaturcaraan melalui konsep tenaga lestari.
Program yang turut melibatkan 20 guru itu dijalankan selama tiga hari berobjektif meningkatkan kefahaman, kemahiran dan kecekapan terhadap pengaturcaraan, mengaplikasikan kemahiran computational thinking dan internet of things dalam kalangan peserta melalui modul robotik, dron serta solar.
Majlis perasmian disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat (YBR), Syaiful Rizal Abdul Ghani serta Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Mohd. Ghazali Ahmad.
Ab. Rauf mengucapkan terima kasih kepada YBR kerana menaja program pendidikan teknologi digital itu yang diharap menjadi pemangkin transformasi masyarakat luar bandar.
“Saya berharap lebih banyak program sebegini dapat dilaksanakan, ia sekali gus dapat memberi impak kepada dunia digital terumanya di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Syaiful Rizal berkata, bagi mewujudkan modal insan berdaya saing, program melibatkan pendidikan digital harus didedahkan kepada pelajar seawal sekolah rendah bagi memastikan penguasaan ilmu berteraskan digital dapat dimaksimumkan.
Ujarnya, program berunsurkan robotik amat bersesuaian dengan perubahan teknologi yang semakin berkembang pesat serta bertepatan dengan Revolusi Industri 4.0 dalam negara.
“YBR amat menitik-beratkan pendidikan dan melalui program ini diharapkan pelajar-pelajar mendapat sedikit pendedahan penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta menambah minat mereka dalam pengaturcaraan robotik, dron dan solar,” katanya. – UTUSAN










