PETALING JAYA: Isu tatatertib membabitkan penjawat awam hanyalah kes terpencil kerana hanya 0.5 peratus daripada keseluruhan 1.48 juta orang dikategorikan bermasalah dan dikenakan tindakan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman
Mohd. Nordin berkata, isu integriti dalam kalangan penjawat awam ketika ini semakin baik selepas pelaksanaan pelbagai tapisan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum diterima bekerja.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih terdapat isu integriti membabitkan penjawat awam di seluruh negara seperti kesalahan tidak hadir kerja, salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.
“Kita akui memang ada kes integriti membabitkan penjawat awam namun jumlahnya hanyalah 0.5 peratus sahaja, jadi tidak boleh ‘pukul rata’ mengatakan keseluruhan mereka bermasalah.
“Cumanya, di pihak Cuepacs kami berharap perkara ini dapat diatasi supaya jumlah mereka yang bermasalah dapat dikurangkan lagi supaya imej penjawat awam lebih bersih dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, sejumlah 8,556 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib pada 2022 dengan kesalahan tertinggi adalah tidak hadir kerja melibatkan 21.5 peratus atau 1,839 orang daripada keseluruhan kesalahan direkodkan dalam tempoh tersebut.
Sebanyak 3.19 peratus atau 273 lagi dikenakan tindakan kerana salah guna dadah diikuti 1.64 peratus atau 140 orang kerana salah guna kuasa serta rasuah.
Dalam tempoh sama, seramai 493 pegawai kerajaan dibuang kerja berbanding 165 orang pada 2020 dan 239 pada 2021 menjadikan jumlah keseluruhan penjawat awam dibuang kerja dalam tempoh tiga tahun seramai 897 orang.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, berdasarkan laporan diterima CUEPACS, kes tidak hadir kerja sebahagian besarnya melibatkan masalah peribadi termasuk isu rumahtangga dihadapi penjawat awam.
“Pelbagai prosedur dan siasatan dilaksanakan secara dalaman oleh pihak JPA terhadap sesuatu laporan termasuk memberi kauseling kepada penjawat awam bermasalah.
“Sekiranya semua usaha tersebut masih gagal barulah tindakan tatatertib dikenakan termasuklah dibuang kerja, namun bukan sewenang-wenangnya mereka boleh dilepaskan,” katanya. – UTUSAN










