IPOH: Cubaan menyeludup motosikal import dan minuman keras ke negara ini dengan cara menyembunyikan di dalam sebuah gudang tayar gagal, selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak.
Serbuan sekitar pukul 3.30 petang pada 13 Mei lalu itu dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu di Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Dalam serbuan hasil maklumat awam itu, sebanyak 39 unit motosikal jenama Sky Team pelbagai model dan 1,325 liter minuman keras pelbagai jenama berjaya dirampas.
Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, pemeriksaan mendapati kesemua motosikal yang dipercayai diimport dari China itu merupakan barang belum lulus Kastam.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan kenderaan itu termasuk cukai berjumlah lebih RM1 juta.
“Siasatan mendapati, motosikal ini dibawa masuk dari China ke negara ini melalui Pelabuhan Klang dan disembunyikan dalam gudang itu sejak lebih tiga tahun lalu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kita tidak menolak kemungkinan sindiket ini gagal menjual motosikal tersebut kerana tidak mempunyai dokumen yang lengkap,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks JKDM di sini semalam.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut yang dijalankan di dalam premis itu turut menemukan sejumlah minuman keras dengan anggaran nilai termasuk cukai berjumlah RM356,383.50.
Katanya, siasatan mendapati, premis berkenaan tidak memiliki lesen menjual minuman keras di bawah Akta Eksais 1976.
“Semasa pemeriksaan, seorang lelaki warga tempatan berusia 30 tahun yang mengaku sebagai pemilik gudang gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk permit import dan lesen menjual minuman keras di bawah Akta Eksais.
“Berikutan itu, lelaki terbabit ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 32(1) Akta Eksais 1976,” katanya.










