Cuaca panas: Aktiviti riadah pelajar di kawasan berbumbung

Cuaca panas: Aktiviti riadah pelajar di kawasan berbumbung

SEBAHAGIAN daripada murid yang melakukan aktiviti riadah di dalam dewan di SK Pusat Chabang Tiga, Kuala Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Musim cuaca panas dan kering yang berlaku di Terengganu ketika ini menyebabkan aktiviti riadah pelajar ditukar di kawasan yang berbumbung untuk keselesaan mereka.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, langkah itu diambil bagi mengelak sebarang risiko terhadap kesihatan pelajar berikutan cuaca panas ketika ini.

Menurutnya, aktiviti Pendidikan Jasmani dan riadah yang lain masih diteruskan di semua sekolah namun lokasinya ditukar di kawasan berbumbung atau dewan yang tertutup.

“Setakat ini, semua aktiviti melibatkan kecerdasan fizikal pelajar itu berjalan lancar antara pukul 8 hingga 10 pagi.

“Kebanyakan sekolah juga mempunyai ruang yang cukup (berbumbung dan dewan tertutup) untuk memastikan semua aktiviti fizikal berjalan tanpa sebarang masalah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan enam negeri dijangka terus mengalami cuaca panas antara 37 hingga 40 darjah Celsius bagi tempoh kira-kira tiga bulan lagi susulan fenomena El Nino yang sedang melanda dunia.

Enam negeri tersebut ialah Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis dan Kedah.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga, Azman Sulong berkata, aktiviti Pendidikan Jasmani dan riadah yang lain dilakukan di dua dewan tertutup yang terdapat di sekolah itu.

“Pihak sekolah sentiasa mematuhi semua arahan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan JPNT serta mengikut semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang dengan tahap kesihatan serta keselamatan anak mereka sepanjang berada di sekolah kerana semua guru sentiasa memantau mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN