JOHOR BAHRU: Seorang ketua pegawai eksekutif syarikat pembekalan air seorang dan pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah berjumlah RM3.3 juta.
Sumber memberitahu, kedua-dua lelaki yang berusia 38 dan 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pada pukul 4 petang semalam bagi membantu siasatan kes yang sedang dijalankan.
“Penahanan tersebut dibuat berikutan siasatan ke atas beberapa aduan diterima pada tahun 2023, di mana suspek telah menerima wang rasuah daripada pemilik dua buah syarikat kontraktor sebagai balasan membantu syarikat berkenaan memperoleh kerja-kerja perkhidmatan dan pembekalan daripada syarikat pembekalan air tersebut.
“Suspek juga terlibat dengan kesalahan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu berhubung dengan permohonan sumbangan bagi sebuah program berjumlah RM3.3 juta sedangkan program tersebut tidak dilaksanakan sepenuhnya,” jelasnya.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Majistret Johor Bahru, Nurmadiana Mamat membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut.
Kelmarin, dua pegawai kanan sebuah syarikat perbekalan air di negeri ini ditahan berkaitan kes tersebut. – UTUSAN










