Bursa Malaysia rekod permodalan pasaran tertinggi

Bursa Malaysia rekod permodalan pasaran tertinggi

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Prestasi Bursa Malaysia telah mencapai rekod permodalan pasaran sebanyak RM2 trilion yang tertinggi dalam sejarah pada minggu ini, sekali gus menunjukkan daya tahan
ekonomi di bawah Kerajaan Madani.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu juga menunjukkan langkah pembaharuan kerajaan di bawah rangka kerja Ekonomi Madani sedang mengambil alih dan terus memacu keyakinan pelabur.

Ujarnya, pencapaian Bursa Malaysia yang mencecah paras tertinggi awal minggu ini turut menunjukkan pengukuhan pasaran ekuiti dan ekonomi negara.

“Awal minggu ini, Bursa Malaysia telah mencecah 1,600 mata dan mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM2 trilion dalam pasaran modal ekuiti.

“Prestasi berkenaan, yang hadir sewaktu ketegangan geopolitik yang berterusan menjadi bukti kekuatan pasaran dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam ucapan selepas majlis pelancaran CIMB Securities di sini.

Justeru, katanya, langkah yang dilaksanakan kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), Pelan Induk Perindustrian Nasional (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 serta reformasi ekonomi di bawah Belanjawan Negara 2024 dapat membantu semua ini.

“Usaha ini merangkumi pelbagai kementerian dan agensi, mencerminkan pendekatan keseluruhan kerajaan dan fokus kolektif menaikkan siling dan lantai, membuka laluan ke arah pertumbuhan ekonomi yang nyata dan mampan.

“Dalam usaha menaikkan siling dan lantai, terdapat banyak ruang bagi semua pemain dalam ekosistem ekonomi untuk mengambil peranan.

“Oleh hal yang demikian, kerajaan melihat kepada sektor korporat untuk meningkatkan penyertaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pelabur kini melihat Malaysia sebagai satu portfolio pelaburan yang baik.

Jelasnya, ini kerana keadaan ekonomi domestik negara yang bagus tanpa kemerosotan dan aspek keuntungan syarikat-syarikat yang masih di tahap baik.

“Permodalan pasaran kita mencapai tahap tertinggi turut dipengaruhi pasaran global terutamanya Amerika Syarikat (AS).

“Pengurus kewangan menjangkakan AS akan menurunkan kadar faedah kerana inflasi masih di atas 3.0 peratus, namun data pengangguran dan pekerjaan baharu telah merosot.

“Ini akan menarik keluar wang daripada bon perbendaharaan AS yang dipegang dan pelabur akan bertukar ke pasaran yang di bawah nilai seperti Malaysia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung akan memberi peluang kepada Bursa Malaysia untuk terus meningkat kerana para pelabur tidak mahu ‘terperangkap’ dalam pasaran AS yang akan menurun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN