PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) minta diberi masa dan ruang untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kes lelaki menyerang Balai Polis Ulu Tiram, Johor Jumaat lalu sehingga mengorbankan dua anggota polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata,pihaknya kini masih menyoal siasat tujuh individu yang ditahan terdiri ahli keluarga suspek dan dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT).
“Buat masa ini soal siasat ke atas mereka yang ditahan masih berjalan.
“Malah masih terlalu awal untuk kita membuat assessment (penilaian)…bagi masa sedikit polis menyiasat,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk hubungan antara dua pelajar yang membuat laporan polis ketika kejadian itu berlaku.
Razarudin semalam mengesahkan penyerang Balai Polis Ulu Tiram bukan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).
Menurutnya, kenyataan suspek berusia 21 tahun yang ditembak mati adalah anggota JI berdasarkan siasatan awal melihat kepada pengalaman bapa lelaki terbabit yang juga ahli kumpulan pengganas itu.
Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, suspek dalam kejadian itu didapati bertindak sendirian dan tiada kaitan dengan kumpulan terancang berdasarkan kesimpulan awal polis.
Kesimpulan itu hasil keterangan diambil daripada 46 individu dalam profil dipercayai berkaitan insiden berkenaan.
Susulan itu, tujuh individu warga tempatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan serangan tersebut.
Perintah reman dibenarkan oleh Majistret Johor Bahru, Hidayatul Syuhada Samsudin di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tujuh individu terbabit termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun, yang ditahan semalam susulan serbuan dilakukan di kediaman keluarga suspek awal pagi semalam.
Turut direman, dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang hadir di balai polis sebelum kejadian, juga dipercayai mempunyai kaitan dalam kes berkenaan.- UTUSAN










