Bapa suspek juga ahli JI

Bapa suspek juga ahli Jemaah Islamiyah

PASUKAN penyiasat memeriksa kelongsong peluru dalam kes balai polis diserang di Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI Pemberita: Khairul/Sharkawi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bapa kepada suspek utama dalam serangan maut di Balai Polis Ulu Tiram, di sini awal pagi semalam juga dipercayai merupakan ahli kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) seperti anaknya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, lelaki berusia 61 tahun itu adalah antara tujuh individu yang ditahan bagi membantu siasatan termasuk seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 22 serta 21 tahun yang membuat laporan polis sebelum kejadian pada pukul 2.30 pagi.

“Selepas kejadian itu berlaku, polis telah melakukan serbuan ke kediaman suspek yang terletak di kawasan Ulu Tiram pada kira-kira pukul 6 pagi.

SIASATAN

“Lima lagi ahli keluarga suspek yang berusia antara 19 dan 62 tahun diberkas bagi membantu siasatan berhubung kejadian ini,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Ulu Tiram, di sini semalam.

Tambah Razarudin, polis turut merampas pelbagai risalah berkaitan dengan kumpulan JI ketika menggeledah rumah suspek.

Tambahnya, suspek berusia 21 tahun itu dipercayai telah me­lakukan persediaan rapi bagi menjalankan serangan berkenaan.

“Ketika kejadian, suspek yang menunggang motosikal turut membawa sebuah yang beg yang diubah suai sebagai perisai dengan meletakkan zink, kertas dan baju di dalamnya,” jelasnya.

Dalam pada itu, pegawai dan anggota polis seluruh negara diarah untuk meningkatkan kawalan khususnya di kawasan berprofil tinggi seperti istana, bangunan pentadbiran kerajaan dan kawasan awam.

Razarudin berkata, pasukan keselamatan perlu sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan.

SIAP SIAGA

“Pesanan saya kepada semua anggota polis di seluruh negara adalah untuk sentiasa bersiap-siaga susulan kejadian ini.

“Kawalan di balai kita akan pertingkatkan, bukan itu sahaja, kita juga akan maklumkan kepada Menteri Besar dan pihak istana, itu sangat mustahak.

“Itu tanggungjawab kami termasuklah di balai-balai, kita akan tingkatkan jumlah anggota dan mana kawasan dengan pencahayaan kurang kita akan tingkatkan,” katanya.

Tambahnya, pihak risikan juga telah diminta untuk mengenal pasti kira-kira seramai 20 ahli kumpulan ekstremis itu yang dipercayai masih berada di negeri ini.

Sementara itu, Razarudin turut melawat anggota polis yang tercedera akibat tembakan suspek yang sedang menerima ra­watan di Hospital Sultan Ibrahim (HSI), Johor Bahru.Koperal Mohd Hasif Roslan yang merupakan  Anggota Cegah Jenayah di Balai Polis Ulu Tiram cedera akibat ditembak dalam insiden kira-kira jam 2 pagi itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×