KUALA LUMPUR: Pelaburan signifikan dalam idea, usaha dan sumber sangat penting bagi memastikan ancaman keselamatan bentuk baharu dapat ditangani dengan berkesan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ancaman keselamatan baharu yang berkembang pesat, menuntut idea transformatif untuk mengubah strategi menanganinya.
Menurutnya, ia memerlukan kerjasama antara agensi dan rangkaian antarabangsa bagi mempelajari semula dan memahami mengenai peperangan serta ancaman keselamatan.
Justeru, kata beliau, penglibatan generasi muda yang mahir dengan teknologi terkini amat diperlukan dalam menangani risiko keselamatan kerana golongan itu menawarkan perspektif yang segar.
“Melabur dalam generasi akan datang akan memastikan bahawa mereka dilengkapi pelbagai kemahiran bagi mengemudi cabaran masa hadapan,” katanya dalam ucaptama Forum Putrajaya 2024 sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC ASIA) 2024 di sini, semalam.
Forum Putrajaya 2024 dengan tema Non-Traditional Threat and Emerging Technologies adalah platform persidangan berskala antarabangsa dilaksanakan bagi menghimpunkan komuniti penggubal dasar, badan pemikir dan agensi pertahanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa.
Mohamed Khaled berkata, teknologi baharu yang menawarkan penyelesaian praktikal harus menjadi pusat kepada hubungan diplomatik dan rundingan antarabangsa.
“Teknologi seperti satelit dan inovasi keselamatan siber membolehkan komunikasi masa nyata dan perkongsian maklumat dipertingkatkan dalam kalangan anggota tentera dan pertahanan.
“Kita juga perlu membincangkan bagaimana negara membangun boleh bekerjasama dengan pihak lain bagi mengejar negara-negara yang lebih maju,” katanya. – UTUSAN









