Baling bom di pusat hiburan: Individu kelima ditahan

Baling bom di pusat hiburan: Individu kelima ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lagi individu ditahan bagi membantu siasatan kejadian membaling bom petrol sehingga menyebabkan kebakaran di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng pada 9 Mei lalu.

Penahanan itu menjadikan lima individu ditahan setakat ini bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek kelima yang ditahan merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun.

“Tangkapan itu telah dilakukan semalam, kita telah mengemukakan perintah reman ke atas suspek kelima ini dan dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini hingga 16 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, katanya, empat suspek lelaki yang ditahan reman selama empat hari sejak 11 Mei lalu akan dilanjutkan lagi untuk melengkapkan siasatan polis.

“Reman empat orang lelaki yang terlibat dalam kejadian ini akan berakhir esok dan reman mereka akan disambung pada hari yang sama.

“Polis masih meneruskan siasatan untuk mengenalpasti motif utama kejadian dalam kes ini,” ujarnya.

Pada 10 Mei lalu, dua individu berusia 25 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian membaling bom petrol di sebuah pusat hiburan di Jalan  Yap Kwan Seng ditahan.

Kedua-dua suspek tempatan itu ditahan di rumah mereka di Batu Caves Selangor pada sebelah petang hari kejadian.

Kes disiasat di Bawah Seksyen 435/506 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api serta ugutan jenayah. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×