Balai polis diserang: Kerajaan Pahang sumbang RM8,000 kepada keluarga Muhammad Syafiq - Utusan Malaysia

Balai polis diserang: Kerajaan Pahang sumbang RM8,000 kepada keluarga Muhammad Syafiq

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) ketika menyempurnakan majlis perasmian Pejabat PKBM Pahang, di Permatang Permai, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan RM8,000 kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan awal itu akan diserahkan kepada keluarga mangsa yang menetap di Taman Seri Mahkota Jaya di sini.

Katanya, bantuan RM3,000 merupakan sumbangan peribadinya manakala RM5,000 daripada kerajaan negeri.

“Bantuan ini kita akan beri kepada keluarga mangsa, terpulanglah kepada keluarga untuk guna bantuan awalan ini. Sumbangan ini merupakan tanggungjawab kerajaan Negeri.

“Seperti biasa, kerajaan negeri akan membantu di mana perlu dan ini menjadi tanggungjawab untuk kita bantu kerana ini kejadian yang memeranjatkan kita semua, satu kesedihan untuk rakyat negeri Pahang juga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Pejabat Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Pahang di Permatang Permai di sini hari ini.

Wan Rosdy dalam masa sama melahirkan rasa kesal dengan insiden itu selain turut memberi sokongan penuh kepada tindakan yang akan diambil oleh pihak polis.

Dalam kejadian pukul 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera, Koperal Mohd. Hasif Roslan.

Jenazah Muhammad Syafiq dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jaya Gading pada pukul 10 pagi esok.

Menyentuh tentang PKBM Pahang, Wan Rosdy berkata, jumlah kontraktor di negeri ini yang berdaftar di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pahang dan masih aktif dari gred G1 hingga G7 adalah seramai 8,433. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN