SHAH ALAM: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bertanggungjawab dan berani mempertahankan maklumat yang dibahaskannya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang itu perlu tampil memberi keterangan kepada polis seperti yang diarahkan.
“Beliau perlu bersikap seperti anak jantan dan tidak takut memberi keterangan kepada polis untuk membantu siasatan. (Soal tindakan) Itu risiko yang harus ditanggung oleh beliau.
“Imuniti dalam dewan adalah untuk mengemukakan bicara. Bila dia menyebarkan kembali apa dia ucapkan itu dia kena sedar risiko itu,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), semalam.
Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu dilapor menerima notis di bawah Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah berikutan tindakannya membangkitkan isu rakyat serta pentadbiran kerajaan termasuk berkenaan pengurusan Perbadana Kemajuan Negeri Selangor ketika persidangan DUN.
Beliau yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi diminta hadir bagi memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Bagaimanapun, dalam sidang akhbarnya kelmarin, Mohamed Azmin enggan memenuhi arahan tersebut sebaliknya memfailkan semakan terhadap notis tersebut yang disifatkan sebagai tidak berperlembagaan.
Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan, beliau tidak terlibat dalam laporan polis yang dibuat terhadap bekas Timbalan Presiden PKR itu kerana berada di luar negara untuk tempoh masa yang panjang.
“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak membuat laporan itu kerana mereka merasakan mereka dikritik dan difitnah, itu ceritanya. Saya tidak terlibat langsung untuk membuat laporan atau pun memberi arahan.
“Beliau cuba untuk memanipulasi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, saya sudah jawab dalam sidang DUN dengan jelas, dakwaannya menggunakan data lapuk tetapi beliau masih lagi menyebarkannya,’’ katanya. – UTUSAN











