Pecutan akhir PRK Kuala Kubu Baharu bermula

ANALISIS: Pecutan akhir PRK Kuala Kubu Baharu bermula

PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Bebas dan Parti Rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PECUTAN akhir atau pusingan kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu bermula hari ini dan kesemua empat calon bertanding mempunyai baki lima hari lagi menjelang hari pengundian pada 11 Mei.

Malah, pecutan saat akhir tidak boleh diketepikan bagi menentukan parti mana yang dapat menguasai pengundi awal yang terdiri daripada pasukan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Erskine.

Sepanjang minggu lalu, pelbagai isu dibangkitkan dan serangan pertama berbalas antara kedua-dua parti tumpuan, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berkenaan isu latar pendidikan calon masing-masing, Pang Sock Tao dan Khairul Azhari Saut.

Seiring dengan serangan tersebut, turut dilontarkan adalah isu calon tempatan menyebabkan PH mengakui kekurangan itu, namun Sock Tao menjelaskan wakil rakyat tetap boleh berkhidmat dengan baik walaupun bukan berasal dari kawasan yang diwakili mereka.

Kemudian ceramah dan ucapan oleh kepemimpinan PH dilihat lebih tertumpu kepada isu sentimen perkauman didakwa dibangkitkan oleh PN yang dikatakan mempersoalkan Kerajaan Perpaduan menamakan Sock Tao dari kaum Cina sebagai calon.

Sejak itu, PH secara berterusan menyerang PN dengan dakwaan kempen parti itu mencetuskan polarisasi kaum sehingga Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menasihatkan pengundi supaya tidak termakan dengan sentimen tersebut.

Bagaimanapun, PH sebagai parti Kerajaan Perpaduan tidak melepaskan peluang mengetengahkan dasar-dasar kerajaan negeri termasuk menggunakan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Serendah yang bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat walaupun kawasan itu bukan dalam radius Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Sementara PN pula dalam ceramah dan ucapan sepanjang kempen dilihat berterusan menggasak dasar-dasar kerajaan negeri berkenaan perumahan, cukai taksiran, cukai pintu dan isu yang tidak akan padam iaitu bekalan air.

Keengganan kerajaan negeri memberikan air percuma dan kenaikan tarif bermula Mac lalu menjadi senjata mereka sehingga menyebabkan laungan program-program cetusan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk rakyat dari dalam kandungan sehingga meninggal dunia, dipandang sepi.

Malah, PN terus mengambil kesempatan terhadap isu yang mencetuskan laluan sukar kepada Sock Tao untuk meningkatkan pengaruhnya seperti ekonomi rakyat, kos sara hidup, kenaikan harga barang, subsidi minyak dan sebagainya.

Ia dikuatkan lagi dengan ucapan Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjelaskan masalah itu merentas kaum dirasai semua orang dan menekankan kaum Cina sebagai ‘masyarakat perniagaan’ terbeban dengan tekanan ekonomi.

Justeru, dalam lima hari terakhir bermula hari ini, kedua-dua parti dilihat rancak mengatur strategi, jadual kempen Khairul Azhari dilihat lebih padat berbanding Sock Tao untuk memaksimumkan masa sehari bertemu pengundi seramai mungkin.

Sementara Sock Tao bersama pimpinan PH pula akhir-akhir ini menggerakkan jentera mereka ke kawasan-kawasan pedalaman untuk bertemu pengundi minoriti terdiri daripada Orang Asli kira-kira 2,000 orang.

PN pula meneruskan siri culaan dan konsensus mereka walaupun meyakini sudah mengenal pasti pengundi putih UMNO seramai kira-kira 8,000 orang di tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM), tetapi masih berahsia tentang manifesto mereka.

Tidak ketinggalan calon bebas, Nyau Ke Xin yang merupakan calon termuda terpalit dengan dakwaan kononnya dia dibayar untuk bertanding, namun lantas dinafikannya menerusi video-video dalam aplikasi TikTok.

Namun calon yang dilihat terus tenggelam adalah daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hafizah Zainudin apabila dilihat tidak mesra media. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×