Aksi terjunan udara meriahkan sambutan hari raya sekolah - Utusan Malaysia

Aksi terjunan udara meriahkan sambutan hari raya sekolah

PELAJAR-pelajar tidak melepaskan peluang bergambar bersama penerjun dalam helikopter Agusta AWB139 sempena Sambutan Hari Raya Adilifitri SMK Tunku Besar Tampin di Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Sambutan hari raya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Besar Tampin di sini pagi tadi berlangsung penuh kelainan apabila ia turut diserikan dengan persembahan terjunan udara dari unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengetua Cemerlang, Zul Senin berkata, pengisian program bersempena sambutan 100 tahun sekolah berkenaan begitu bermakna buat warga sekolah terbabit apatah lagi ia turut dihadiri oleh Komander PGU, Datuk Noor Sham Md Jani merupakan bekas pelajar sekolah berkenaan malah pernah menjadi ketua pelajar pada tahun 1994.

Menurutnya, warga sekolah terdiri daripada 810 pelajar dan 80 guru bukan hanya berpeluang melihat sendiri di hadapan mata aset PDRM iaitu helikopter Agusta AWB139 bahkan turut berpeluang melihat lima penerjun dari unit 69 Komando, pasukan gerakan khas dari Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta, Ipoh membuat terjunan membawa bendera.

“Setiap penerjun membawa bendera didahului Jalur Gemilang dan terakhir bendera sekolah sebagai pencetus semangat kepada pelajar sekolah ini untuk meminati bidang kerjaya kepolisan yang mempunyai pelbagai kepakaran.

“Sempena sambutan hari ini juga pelajar dapat melihat persembahan dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang, Selangor. Kami amat gembira kerana dapat memberi pendedahan teknologi seperti ini kepada pelajar dalam usaha yang sama memupuk semangat sayang kepada sekolah serta negara,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.


NOOR Sham Md Jani beramah mesra bersama pelajar-pelajar SMK Tunku Besar Tampin pada Sambutan Hari Raya Adilifitri sekolah terbabit di Tampin hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, Noor Sham memberitahu, dia sudah berkhidmat selama 37 tahun dalam PDRM dan dalam tempoh tersebut dia sudah berpengalaman selama 33 tahun sebagai juruterbang.

Menurutnya, memang menjadi harapannya untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang kepolisan serta menarik minat golongan tersebut menyambung legasi sebagai juruterbang sama ada pelajar lelaki ataupun perempuan.

“Saya fikir boleh kita kembangkan menyertai PGU sebagai anggota polis di samping menjadi juruterbang pesawat helikopter atau kapal terbang. Macam mana yang kita sedia maklum PGU ini telah mengalami anjakan ataupun perkembangan yang amat drastik.

“Dahulunya kita tak ada juruterbang perempuan, sekarang ini, Alhamdulillah, hasil usaha dan galakan kita telah menghasilkan empat orang juruterbang kapal terbang perempuan tahun lepas dan seramai enam pegawai lagi sedang menjalani kurus helikopter. 

“Dengan adanya program seperti ini, golongan pelajar dibentuk sebagai pelapis menyertai PGU, baik sebagai juruterbang, pemerhati udara mahupun di bahagian kejuruteraan. Program ini diharap menjadi pencetus minat mereka menyertai bahagian kepolisan dan juruterbang suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×