KUALA LUMPUR : Hasil semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas laman sosial Instagram Muhammad Imran Suresh mendapati akaun itu adalah palsu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, individu berkenaan dilihat cuba mengganggu dan mencetuskan persepsi negatif berhubung kejadian simbah melibatkan asid tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim.
Shuhaily mengingatkan, PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengendali atau pemilik pemilik akaun media sosial yang dipercayai menimbulkan kebencian terhadap pemain bola sepak kebangsaan.
“Kita akan memantau semua akaun-akaun ini dengan meminta bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Kita tidak boleh memberi ruang kecil untuk mereka ini ambil kesempatan untuk merosakkan keadaan,”katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, setakat ini, tiada laporan diterima pihaknya terhadap mana-mana akuan media sosial yang mencetuskan spekulasi.
Terdahulu, Ketua Polis Negara mengesahkan seorang pemilik media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh sedang dikenal pasti PDRM berhubung kenyataan dikeluarkanya mengenai kejadian simbah asid tonggak skuad Harimau Malaya.
Beliau berkata, individu berkenaan mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.
Terdahulu, seorang pemilik laman sosial Istagram mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes melibatkan faisal.
Beliau mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut mendedahkan mengenai kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.









