KUALA LUMPUR : Polis menempatkan sekurang-kurangnya 20 anggotanya bagi mengawal lalu lintas susulan penukaran jalan sehala kepada dua hala di Jalan Sultan Ismail, sejak Rabu lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, tindakan tersebut diambil ekoran terdapat kenderaan yang keliru tentang perubahan laluan yang bermula di simpang Jalan Raja Chulan sehingga simpang Bukit Bintang, di sini.
Katanya, perubahan laluan dibuat ekoran jalan yang disediakan sejak 18 tahun lalu dilihat tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.
“Jalan dilihat sesak dan padat ekoran pembangunan pesat seperti pusat komersial dan wujudnya persekitaran tumpuan tinggi seperti TRX City yang bakal menambahkan lagi jumlah kenderaan di Bukit Bintang.
“Justeru itu, satu solusi jangka masa pendek perlu dilakukan segera bagi penyuraian trafik di kawasan ini. Pembukaan jalan Sultan Ismail dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar Bukit Bintang,” katanya pada sidang akhbar di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sejak 1 Mei dilancarkan, pihak polis masih menumpukan pemantau kelancaran laluan kenderaan di lokasi ini disamping memberikan pemahaman lalu lintas kepada pengguna jalan raya.










