PETALING JAYA: Sebanyak 150 keldai membabitkan RM32 juta yang disyaki digunakan sindiket judi dalam talian dibekukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ia membabitkan pembekuan 73 akaun bank berjumlah RM4.72 juta serta 49 akaun yang disita dianggarkan bernilai RM25.2 juta yang digunakan untuk kegiatan perjudian dalam talian di negara ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati akaun-akaun keldai bagi judi online digunakan secara berperingkat sehingga tujuh lapisan.
“Jadi setakat ini sebanyak 150 akaun yang dibekukan termasuk hingga peringkat keempat berjaya dikesan pihak polis.
“Selain itu, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) berjaya menyita 11 kenderaan bernilai RM2.2 juta dan wang tunai serta barangan kemas berjumlah RM445,000,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, menurut Razarudin, pihaknya sentiasa komited dalam membanteras judi online yang bertapak di seluruh negara.
JUDI
Jelas beliau, siasatan polis mendapati terdapat ratusan judi online yang bertapak di negara ini.
“Antaranya Winbox, 99, 88 dan banyak lagi namun kita sedang siasat siapa di belakang aktiviti ini.
“Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti mereka yang terlibat untuk diambil tindakan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya.
Kata Razarudin, akaun keldai ini turut digunakan untuk kegiatan penipuan dalam pelaburan.
“Justeru, pihak polis ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah memberikan atau meminjamkan akaun bank kepada mana-mana individu kerana terdapat kemungkinan mereka dijadikan keldai akaun,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu mendakwa Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai mengamalkan sistem ‘aparteid’, polis akan memanggil kolumnis, Andrew Sia untuk dirakam percakapannya berhubung penulisannya itu.
Beliau berkata, siasatan sedang dijalankan dan individu terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat.
Menurutnya, semakan terhadap portal sedang dibuat sebelum memanggil pengarang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
“Setakat ini sebanyak 38 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung isu ini,” katanya ketika dihubungi semalam.- UTUSAN










