Wanita rugi RM131,500 ditipu 'scammer' menyamar polis - Utusan Malaysia

Wanita rugi RM131,500 ditipu ‘scammer’ menyamar polis

NG SWIE CHAIT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Seorang wanita kerugian RM131,500 akibat diperdaya ‘scammer’ yang menyamar sebagai pegawai polis dari Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan mendakwanya terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram, bulan lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintenden Ng Swie Chait, pihaknya menerima aduan daripada mangsa berusia 52 tahun semalam yang mendakwa menjadi mangsa penipuan dalam talian.

“Pada Mac lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai khidmat pelanggan Pos Laju dan memberitahu terdapat barang salah yang didaftarkan atas nama wanita berkenaan. Panggilan telefon itu kemudiannya disambungkan kepada IPK Perak bagi tujuan penyelesaian kes. 

“Wanita itu telah berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis dan mendakwa wanita itu mempunyai rekod jenayah dan terlibat dengan penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mangsa kemudiannya disambungkan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan menyatakan wanita itu dikenakan waran tangkap sekiranya tidak patuh arahannya.

“Mangsa diminta membuat laporan secara dalam talian dan diarahkan untuk mengikut segala arahan yang diberikan. Disebabkan mangsa takut dan panik, dia telah mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun bank miliknya dan memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank lain yang diberikan suspek.

“Pada mulanya wanita itu berasa curiga, namun suspek memberikan alasan bahawa wang simpanan yang dipindahkan ke akaun bank tersebut adalah bertujuan untuk proses kemas kini dan pembersihan akaun bank miliknya.

“Suspek juga memberi alasan, pemilik akaun bank berkenaan adalah juru audit yang terlibat dalam membantu menyelesaikan kes atas nama mangsa seperti yang didakwa,” katanya sambil memaklumkan mangsa juga diminta melaporkan lokasi setiap satu hingga dua jam kepada suspek melalui aplikasi WhatsApp.

Mangsa akhirnya sedar semua itu merupakan satu penipuan selepas menceritakan kejadian tersebut kepada suaminya sebelum membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutamanya dalam urusan melibatkan transaksi kewangan dan digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian Semak Mule menerusi laman web 

www.semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang pembayaran atau transaksi dalam talian serta memuat turun aplikasi ‘whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan. – UTUSANFARAHW

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×