Tiga penunggang motosikal maut selepas berlumba - Utusan Malaysia

Tiga penunggang motosikal maut selepas berlumba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiga lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka berlanggar sesama sendiri akibat dipercayai berlumba di Kilometer 9.9, Lebuh Raya Ketereh-Kota Bharu di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, kesemua mangsa yang berusia 19 dan 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, kemalangan tersebut melibatkan tujuh kenderaan iaitu enam buah motosikal dan sebuah kereta yang berhenti di laluan kecemasan.

Menurutnya, siasatan mendapati, sekumpulan lelaki menunggang motosikal mereka dalam kelajuan tinggi dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu

“Semasa tiba di lokasi kejadian, dua buah motosikal berlanggar sesama sendiri selepas dipercayai cuba mengelak sebuah motosikal yang telah terjatuh di atas jalan raya.

“Kejadian itu menyebabkan dua buah motosikal tersebut dirempuh oleh empat buah motosikal daripada belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, satu daripada sebuah motosikal turut melanggar belakang sebuah kereta yang berhenti berada di laluan kecemasan sebelah kiri menghala ke Kota Bharu.

Katanya, tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini untuk dibedah siasat.

“Siasatan mendapati, nahas berpunca daripada sikap mangsa yang menunggang motosikal pada kelajuan tinggi sehingga tidak dapat bertindak awal dan sukar melihat dalam suasana gelap.

“Pada masa sama, tiga lagi penunggang motosikal yang parah dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini manakala pemandu sebuah kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN