PETALING JAYA: Setelah lebih 200 hari perang berlangsung sejak 7 Oktober lalu, tentera rejim Zionis masih tidak menunjukkan tanda-tanda mahu berundur daripada tanah Semenanjung Gaza.
Sebaliknya mereka dikatakan merancang melancarkan lagi serangan terbaharu di Rafah, yang terletak di selatan Gaza.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, Israel ketika ini merancang serangan baharu di Rafah dengan menyasarkan rakyat Palestin yang berlindung di kawasan tersebut.
“Sejak beberapa hari lalu, Israel mula menyerang sejumlah kem pelarian di Rafah, menyaksikan kemusnahan besar terhadap satu-satunya ‘kubu terakhir’ penduduk di wilayah berkenaan.
“Keadaan itu memaksa penduduk Palestin mendapatkan perlindungan di kem-kem pelarian lain atau mendirikan khemah baharu menggunakan apa sahaja bekalan yang ada demi menyelamatkan diri,” katanya.
Menurut beliau, bantuan yang disalurkan ke Gaza masih lagi perlahan dan tidak mencukupi berikutan serangan agresif tentera Israel terhadap konvoi bantuan dan di pusat agihan.
Keadaan diburukkan apabila kesemua delegasi yang terlibat dalam misi Break The Siege: Freedom Flotilla to Gaza diminta pulang ke negara masing-masing selepas Freedom Flotilla Coalition (FFC) tidak dapat meneruskan misi penghantaran bantuan ke Gaza untuk kali ini.
Ketika ini, kapal yang membawa misi tersebut terkandas di Turkiye biarpun sudah bersedia untuk berlayar ke Gaza.
Menurut Jawatankuasa Pemandu FFC, Ann Wright, pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu kepada semua delegasi terlibat sekiranya tarikh akhir pelayaran sudah ditetapkan mengikut keadaan semasa.
Jismi berkata, misi Freedom Flotilla ketika ini ditangguhkan kerana tekanan pelbagai pihak, terutamanya Israel terhadap Republik Guinea Bissau.
Tekanan itu menyebabkan negara berkenaan menarik semula kebenaran kapal induk misi tersebut, iaitu Akdeniz daripada menggunakan bendera mereka.











