PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan kerajaan mengeluarkan lesen untuk menubuhkan kasino di Forest City, Johor Bahru.
Perdana Menteri menegaskan, laporan agensi berita antarabangsa bahawa beliau sedang berunding dengan beberapa taikun untuk projek bernilai AS$100 bilion (RM480 bilion) sebagai tidak betul.
“Tidak ada lesen kasino, tidak betul (laporan berita berkenaan projek kasino),” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Majlis Madani Muhibah Aidilfitri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Kementerian Komunikasi di sini, semalam.
Terdahulu, Bloomberg yang memetik sumber dalam laporannya menyebut, Perdana Menteri berjumpa dengan Pengasas Berjaya Corp., Tan Sri Vincent Tan dan Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dalam satu mesyuarat makan tengah hari minggu lalu untuk membincangkan perkara berkenaan.
Menurut laporan itu, perbincangan mengenai projek kasino berkenaan masih dalam peringkat awal.
Forest City di Iskandar Puteri, Johor pada mulanya dirancang sebagai projek pembangunan kediaman bersepadu. Pembinaan dimulakan pada 2006 melibatkan konsortium pemaju hartanah China.
Pemajunya, Country Garden Pacificview Sdn. Bhd., adalah usaha sama antara Country Garden Group dan Esplanade Danga 88 Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang disokong kerajaan Malaysia.
Country Garden, sebuah syarikat di papan utama Bursa Saham Hong Kong, dan disenaraikan sebagai antara syarikat Fortune Global 500, adalah satu daripada tiga syarikat pemaju teratas China.
Visi besar projek itu adalah untuk mewujudkan kawasan perbandaran mewah untuk rakyat yang kaya dari China.
Pembangunan projek itu sebelum ini dirancang untuk menarik pelaburan dan kekayaan dari China dan mewujudkan sebuah bandar moden baharu, yang didirikan di empat pulau buatan di Selat Johor bersebelahan Singapura.
Sementara itu, Perdana Menteri mengakui jumlah kepimpinan wanita yang menjawat jawatan tinggi dalam negara seperti Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan Ketua Pengarah (KP) tidak mencukupi.
Perdana Menteri berkata, terdapat keperluan untuk menambah bilangan kepimpinan wanita bagi jawatan tertinggi itu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, jumlah pimpinan wanita sedia ada kini tidak mencerminkan kepada jumlah 42 peratus wanita yang terlibat sebagai pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam.
“Kalau ditanya, memang tidak cukup (pemimpin wanita). Seriously saya memang ada bincang dengan KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali), kita harus cari jalan supaya pimpinan KSU, KP itu bertambah,” katanya pada sesi soal jawab sempena Sesi Townhall Lebaran Aidilfitri Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD) di sini.
Sesi selama lebih dua jam itu turut dihadiri Mohd. Zuki, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Presiden PPTD, Datuk Seri Isham Ishak; Presiden Alumni PTD, Tan Sri Abdul Halim Ali dan lebih 2,000 PTD.
Ketika ini, antara pimpinan wanita yang menjawat jawatan penting dalam negara termasuk Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin@Mohd. Zainuddin dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi.
Sementara itu, hanya dua wanita yang menjawat jawatan KSU iaitu Datuk Maziah Che Yusoff bagi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Datuk Seri Suriani Ahmad bagi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. – UTUSAN










