Tahap keselamatan KLIA lemah?

Tahap keselamatan KLIA lemah?

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain (tiga dari kanan)meninjau lokasi kejadian tembakan di Balai Ketibaan, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tahap keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) boleh dipertikai selepas kejadian tembakan di Terminal 1, awal pagi semalam.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar kriminologi dan penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abd. Rahim berkata, walaupun insiden ber­kenaan bermotifkan peribadi, ia tidak sepatutnya boleh berlaku di tempat tumpuan awam, apatah lagi lokasi pintu masuk utama negara.

Menurutnya, tembakan rambang seumpama itu boleh ter­kena orang lain yang berada di situ dan mengancam keselamatan awam terutama pelancong sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan penum­pang termasuk pekerja yang bertugas.

“Kita mahu kawalan ke­selamatan di KLIA dipertingkatkan kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berlaku lagi, kawasan luar pintu masuk lapangan terbang perlu dikawal rapi seperti di negara luar.

“Lapangan terbang adalah tempat sensitif, kita tidak mahu ada lagi pihak lain menyasarkan lokasi ini dengan motif lain termasuk pemilikan senjata api oleh mana-mana pengunjung seperti lelaki Israel yang boleh bolos dan ia amat membimbangkan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian pukul 1.20 pagi semalam, seorang lelaki melepaskan tembakan terhadap isterinya menyebabkan seorang pengawal peribadi yang berada di Balai Ketibaan KLIA 1 di sini mengalami kecederaan parah.

Lelaki berkenaan telah melepaskan dua das tembakan, namun salah satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi.

Siasatan awal polis mendapati lelaki tersebut sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang berada di lokasi berkenaan yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, tahap keselamatan di KLIA masih terkawal dan tindakan polis dalam menangani kejadian itu juga adalah tepat, iaitu mengawal risiko lebih besar dengan memastikan ke­selamatan orang ramai berban­ding mengejar seorang suspek.

“Tindakan pantas pasukan keselamatan dalam menyurai penumpang lain adalah kunci kepada kenapa hanya seorang menjadi mangsa sedangkan senjata itu mempunyai peluru lagi.

“Dalam keadaan kecemasan sedemikian, fokus adalah kepada keselamatan awam di tempat kejadian kerana kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi mata yang lain boleh diambil selepas itu bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sekira­nya fokus diberikan kepada penembak dan kemudian dia terkepung, hanya tiga penyelesaian akan berlaku, iaitu menye­rah, membunuh diri atau melepaskan tembakan rambang.

Justeru, pada hemat beliau, keutamaan anggota keselamatan yang berada di lokasi kejadian adalah kepada risiko collateral damage (kebinasaan sekeliling) yang lebih besar.

Pada masa sama, katanya, cadangan pihak polis untuk memeriksa pemilikan senjata setiap orang yang berada di KLIA harus dilihat dari aspek praktikaliti.

“Cadangan ini perlu diperhalusi kerana ia akan melambatkan lagi pergerakan dan suaraian mereka yang berkepentingan berada di satu-satu lapangan terbang,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di KLIA mendapati pengoperasian di Terminal 1 berjalan seperti biasa selepas kejadian tembakan berkenaan.

Aktiviti penumpang di terminal itu lancar dan tiada sebarang kelewatan atau penangguhan penerbangan.

Tinjauan sejak awal pagi hingga pukul 2 petang mendapati ia sangat terkawal dan orang ramai kelihatan tenang walaupun jumlah kapasiti pengguna bertambah selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, turut kelihatan pihak keselamatan lapangan terbang membuat kawalan di kawasan terbabit.

Seorang pengguna KLIA, Mohd. Fadzli Rahim berkata, walaupun sedikit bimbang tentang kejadian tembakan itu, namun dia yakin ­kawalan ke­selamatan diambil pihak ber­kuasa.

“Kita percaya dengan kecekapan pasukan keselamatan dalam mengawal setiap insiden yang berlaku,” katanya yang mahu menaiki penerbangan ke Labuan selepas cuti Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×