KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 1,020 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi yang cuba diseleweng ke negara jiran selepas menahan tiga lelaki dalam serbuan di Pasir Tumboh, semalam.
Ketiga-tiga suspek itu ditahan semasa sedang memunggah barangan kawalan tersebut ke dalam dua buah kenderaan iaitu Perodua MyVi dan van pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, terdahulu KPDN telah mengesan pergerakan dua buah kenderaan sedang memunggah minyak masak bersubsidi di sebuah premis disyaki untuk tujuan diselewengkan.
Menurutnya, anggota penguat kuasa kemudian terus bertindak menahan tiga lelaki termasuk pemilik premis masing-masing berusia 30 hingga 50-an untuk membantu siasatan.
“Pemeriksaan di lokasi serbuan membawa kepada penemuan kotak-kotak berisi minyak masak di dalam kenderaan tersebut. Semasa serbuan suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen dan rekod berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.
“Nilai rampasan minyak masak dianggarkan berjumlah RM2,550,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.
Azman memberitahu, disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN








