Syarikat selenggara jalan diperintah bayar RM721,000

Syarikat selenggara jalan diperintah bayar RM721,000

MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru memutuskan demikian selepas plaintif berjaya membuktikan tuntutannya. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat penyelenggara jalan diperintah membayar ganti rugi RM721,000 kepada seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan selepas merempuh jalan berlubang yang tidak diselenggara di Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor, tiga tahun lalu.

Demikian keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas mendapati Razali @ Mohd Leey Subeh, 49, selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutannya terhadap Safwa Global Venture (M) Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri untuk menyelenggara jalan berkenaan.

Hakim Sazlina Safie berpuas hati, penunggang motosikal tersebut berjaya membuktikan kesnya atas imbangan kebarangkalian dan syarikat itu cuai sepenuhnya dalam kejadian yang berlaku berhampiran Taman Kota Masai.

Mahkamah juga mendapati adalah munasabah mangsa gagal menyedari jalan itu berlubang berikutan jarak penglihatan yang terhad dan pencahayaan yang tidak mencukupi di kawasan perumahan pada waktu kejadian.

“Syarikat itu gagal memfailkan sebarang penghujahan bertulis atau lisan walaupun selepas beberapa kali penangguhan,” katanya melalui penghakiman bertulis bertarikh 27 April lalu yang diperolehi pihak media daripada laman web mahkamah semalam.

Pada 11 Februari 2021, Razali dalam perjalanan dari Taman Cendana ke Taman Kota Masai kira-kira pukul 10 malam apabila terlanggar lubang di permukaan jalan berkenaan mengakibatkan plaintif terjatuh dan cedera.

Lelaki itu memfailkan saman terhadap syarikat berkenaan dan kerajaan negeri sebagai responden pertama dan kedua, masing-masing atas kecederaan dan kerosakan yang dialaminya.

Pada 16 Mei 2022, plaintif te­lah menarik balik saman terhadap responden kedua (kerajaan negeri), manakala defendan pertama gagal membawa mana-mana pihak ketiga ke dalam tuntutan mahkamah berkenaan.

Dalam keputusannya, mahkamah membuat kesimpulan bahawa dari tarikh kejadian (11 Februari 2021) sehingga kerja-kerja penggalian pada 29 September 2022, lubang itu kekal di tempat kejadian tanpa sebarang pembaikan, seperti yang diakui oleh semua saksi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN