MELAKA: Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula semalam dilihat mampu meringankan beban orang ramai dalam membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri, minggu depan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, rata-rata penerima STR menyambut baik pengumuman kerajaan yang disifatkan tepat pada masanya.
Seorang penerima, Ruhaina Mohd. Tahir, 29, berkata, dia tidak menyangka kerajaan menyalurkan STR pada saat akhir memandangkan Aidilfitri hanya berbaki tujuh hari lagi.

Katanya, bantuan itu sangat bermakna kerana dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan keluarga.
“Rasa gembira kerana memang tidak sangka kerajaan akan umum bantuan STR. Bagi saya pemberian ini kena pada masanya kerana saya dapat membuat persiapan raya dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembayaran STR Fasa 2 pada 3 April kepada semua penerima yang berdaftar menerusi pangkalan data bantuan berkenaan.
Kata beliau, peruntukan pembayaran STR Fasa 2 meningkat sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion tahun sebelumnya.
Sementara itu, seorang lagi penerima, Farahiyah Sakinah Aman, 26, berkata, bantuan tersebut sangat membantu ketika rakyat dihimpit dengan kenaikan kos sara hidup seperti harga barang dan makanan.

“Saya sendiri terpaksa berjimat cermat dalam membuat persiapan raya memandangkan harga bahan mentah, pakaian dan biskut raya semakin mahal. Jadi bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan ketika musim perayaan ini,” katanya. – UTUSAN










