Spanco: Robert Tan mengaku tidak bersalah, dakwa sudah lama bantu negara

Spanco: Robert Tan mengaku tidak bersalah, dakwa sudah lama bantu negara

ROBERT Tan tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, di sini semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Faham, saya tidak salah, saya sudah tolong negara banyak lama.”

Itu kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Spanco Sdn. Bhd. (Spanco), Tan Sri Robert Tan Hua Choon, 83, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Disebabkan keadaan beliau yang uzur, pengakuan itu dibuat dari kandang saksi dalam keadaan duduk.

Terdahulu, Hua Choon yang turut digelar ‘Raja Casio’ didakwa menipu Jawatankuasa Pembuka Peti Tender, Kementerian Kewangan (MOF) dalam mendapatkan tender bertajuk ‘Request For Proposal for Supply, Repair, Maintenance and Management of Government of Malaysia Vehicle Fleet’ dengan menyatakan terdapat pemilikan saham bumiputera sebanyak 30 peratus di Spanco.

Tindakan itu telah mendorong MOF untuk menganugerahkan kontrak mengurus dan menyelenggara berkenaan yang bernilai RM3.9 bilion.

Hua Choon didakwa melakukan perbuatan itu di antara 27 dan 28 Februari 2019 di Bilik Tender, Unit Kerjasama Awam Swasta, Kementerian Kewangan Malaysia, Aras 10, Blok Menara, Menara Usahawan, Presint 2, Persiaran Perdana, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abd. Jumaat mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin dengan mengambil kira nilai tender yang terlibat serta keseriusan pertuduhan.

Mahadi juga memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu Hua Choon perlu menyerahkan pasport antarabangsa atau apa-apa pasport diplomatik kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mengarahkan tertuduh melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat pada minggu pertama setiap bulan dan dilarang mengganggu atau berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan sama ada secara terus atau melalui pihak ketiga sehingga kes selesai dibicara.

Berhubung cadangan ikat jamin RM2 juta, peguam bela, Wan Azmir Wan Majid yang mewakili ahli perniagaan itu tidak mengemukakan sebarang bantahan walaupun menyifatkan jumlah tersebut agak tinggi.

Beliau turut menyatakan permohonan pendakwaan agar tertuduh menyerahkan pasportnya seolah-olah menyekat perjalanan ahli perniagaan itu.

Bagaimanapun, peguam memohon mahkamah mempertimbangkan keadaan anak guamnya yang menghidap hipertensi, sakit lutut dan sakit belakang terpaksa bergantung kepada penggunaan tongkat dan pembantu dalam pergerakan seharian.

Selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan, Suzana menetapkan wang jaminan sebanyak RM2 juta dengan seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa dan pasport diplomatik; sekiranya ada, kepada mahkamah untuk disimpan sehingga kes selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN