KOTA BHARU: Polis membongkarkan taktik menyeludup rokok putih bernilai RM4.1 juta selepas menahan sebuah lori kontena di jalan Sultan Ismail, Langgar, di sini awal pagi semalam.
Dalam serbuan pukul 7.50 pagi itu, polis turut menahan pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 29 serta 38 tahun bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan rokok tersebut.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terdahulu sepasukan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor telag mengesan sebuah bot memasuki kawasan perairan Tumpat dalam keadaan mencurigakan pada pukul 4 pagi.
Menurutnya, pemerhatian seterusnya mendapati sebuah lori kontena dalam keadaan mencurigakan bergerak dari arah Wakaf Bharu, Tumpat menghala Kota Bharu.
“Sebaik sahaja lori tersebut ditahan di jalan Sultan Ismail, pemeriksaan mendapati lori kontena itu membawa kepada 27,350 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai belum membayar cukai kastam.
“Kesemua barang rampasan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di pekarangan Balai Polis Peringat, di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, polis tidak menolak kemungkinan rokok tersebut untuk pasaran di sekitar Lembah Kelang.
Katanya, polis akan mengesan pemilik bot tersebut untuk mendapatkan maklumat dalang sebenar disebalik aktiviti ini.
“Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Kedua-dua suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya berjaya merekodkan rampasan bernilai RM1.05 juta menerusi 48 kes.
Katanya, PGA pula berjaya merekodkan rampasan berkait kontraban di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) hampir RM1.7 juta pada tahun ini.-UTUSAN








