‘Saya tergamam lihat lokasi nahas dua helikopter’

‘Saya tergamam lihat lokasi nahas dua helikopter’

Leftenan komander TLDM, Chan Jun Shen. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tergamam dan sukar untuk saya gambarkan ba­gaimana perasaan sendiri keti­ka tiba di lokasi kejadian serta me­lihat apa yang berlaku di depan mata. Suasananya amat berbe­za.”
Itu adalah reaksi seorang pe­gawai Tentera Laut Di­raja Ma­laysia (TLDM), Leftenan Komander Chan Jun Shen yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) awal dua helikopter milik TLDM bergesel sebelum terhempas semasa me­lakukan raptai di kawasan Pang­kalan TLDM Lumut, 23 Ap­ril lalu.

Menurutnya, beliau hilang kata-kata apabila melihat suasana dan keadaan di lokasi kejadian dengan fikirannya ligat memikirkan apa yang dilalui semua rakan-rakannya yang berada di dalam dua helikopter berkenaan.

“Selepas dapat tahu tentang insiden itu, kami bergegas ke lokasi kejadian dan sejurus tiba, saya tergamam melihat keadaan di situ dengan kawasan sekitarnya dipenuhi serpihan badan helikopter.

“Kami memang sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh berlaku, termasuk insiden seperti ini (terhempas) tapi bila ia berlaku depan mata kita, sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata.

“Di dalam helikopter itu, mereka semua rakan saya, saya hanya fikirkan bagaimana keadaan mereka dan Tuhan lebih menyayangi mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini semalam.

Terdahulu, Jun Shen meraih perhatian ramai apabila menulis sejumlah hantaran dalam media sosial sebagai penghargaan dan penghormatan terakhirnya kepada kesemua mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

Semua hantaran tersebut mendapat sambutan ramai dengan kebanyakan pengguna media sosial menzahirkan ucapan takziah dan sedih dengan insiden yang berlaku.

LOKASI

Dalam perkembangan terbaharu mengenai nahas tersebut, bangkai dua helikopter yang terhempas sudah dipindahkan dari lokasi kejadian.

Kedua-duanya iaitu helikopter Operasi Maritim (HOM) jenis AW139 dan FENNEC M502-6 dibawa ke satu lokasi di dalam Pangkalan TLDM Lumut.

Sumber TLDM memberitahu, dua badan helikopter dan serpihannya itu dikekalkan berada dalam pangkalan tersebut bagi memudahkan siasatan lanjut terhadap kejadian yang mengorbankan 10 kru itu dijalankan.

Sementara itu, Jun Shen meminta orang ramai supaya berhenti membuat sebarang spekulasi mengenai bagaimana nahas itu berlaku sehingga meragut nyawa kesemua penumpangnya.

“Saya tahu, ramai yang berminat ingin tahu bagaimana nahas boleh berlaku dan ada sesetengah pihak berani membuat teori sendiri tentang apa yang berlaku.

“Bahkan, ada pandangan mereka itu mengguris hati keluarga mangsa, jadi saya berharap hentikan sebarang spekulasi, kita sama-sama tunggu siasatan selesai.

“Kita hormatilah perasaan keluarga yang sudah cukup bersedih dengan kehilangan insan tersayang,” tegasnya.

Pada akhir perbualan, Shun Jen mengakui beliau sendiri masih bersedih dengan insiden yang berlaku sehingga membuatkan dia menangis bila terkenangkan rakan-rakan seperjuangannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×