Rogol amah: Paul Yong fail rayuan akhir

Rogol amah: Paul Yong fail rayuan akhir

PAUL YONG CHOO KIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong memfailkan notis rayuan akhirnya berhubung sabitan salah dan hukuman penjara serta sebat yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan merogol bekas pembantu rumahnya, lima tahun lalu.

Notis tersebut difailkan pada 5 Mac lalu iaitu empat hari selepas Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1 mengekalkan sabitan salah tersebut.

Bagaimanapun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan meminda hukuman penjara yang dikenakan terhadap Paul Yong daripada 13 kepada lapan tahun. Hukuman sebat dua kali dikekalkan.

Ketika membaca penghakiman, majoriti panel hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Hakim Datuk Azman Abdullah menyatakan kejadian rogol tersebut boleh berlaku dalam tempoh 30 minit ketika Paul Yong dan pembantu rumah warga Indonesianya ditinggalkan berseorangan di rumah lelaki berkenaan.

Menurut keterangan sebelum ini, dalam tempoh tersebut, isteri dan anak Paul Yong telah keluar untuk membeli makanan di restoran makanan segera berdekatan.

Selain itu, tiada bukti yang menunjukkan bahawa rumah bekas Exco Kerajaan Negeri Perak itu dipecah masuk oleh mana-mana individu dan pembantu rumahnya yang ketika itu berusia 23 tahun pernah melakukan hubungan seks dengan mana-mana lelaki.

Sementara itu, ketika membaca penghakiman menentang, Hakim S.M. Komathy menyatakan hak perayu (Paul Yong) telah diprejudiskan apabila hakim bicara mengguna pakai Seksyen 265 Kanun Tatacara Jenayah bagi melindungi identiti mangsa.

“Terdapat percanggahan dalam keterangan mangsa yang pada mulanya mengadu mengenai gangguan seksual kepada Kedutaan Indonesia sebelum menimbulkan dakwaan dirogol beberapa jam kemudian iaitu ketika membuat laporan polis.

“Selain itu, keterangan pegawai perubatan juga tidak menolak kemungkinan bahawa koyakan pada selaput dara itu boleh berlaku akibat onani,” kata hakim itu.

Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Paul Yong, 53, bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di dalam bilik rumahnya di Ipoh, Perak antara 8.15 malam dan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan hukuman terhadap Paul Yong ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi ,Datuk Abdul Wahab Mohamed dalam keputusannya berkata, mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa pembelaan Paul Yong bahawa insiden rogol itu tidak berlaku, tidak boleh dipercayai, hanya penafian dan merupakan sesuatu yang difikirkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN