RM300 juta untuk jayakan Sukma Ke-21 - Utusan Malaysia

RM300 juta untuk jayakan Sukma Ke-21

ABDUL Karim Rahman Hamzah menyampaikan kas jemputan rasmi ke Sukma XXI dan Para Sukma kepada Aminuddin pada kunjung hormat kerajaan negeri Sarawak bagi mempromosikan Sukma XXI dan Para Sukma di Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penganjuran Sukan Malaysia Ke-21 (Sukma XXI) dan Para Sukma di Sarawak pada Ogos ini dijangka menelan belanja hampir RM300 juta.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kos itu melibatkan kerja menaik taraf fasiliti sukan, penganjuran, logistik dan beberapa perbelanjaan lain.

Katanya, kerajaan negeri berharap sebahagian kos itu akan ditanggung oleh kerajaan Pusat melalui peruntukan untuk sukan tempatan secara dwitahunan itu.

“Kami masih menunggu dari kerajaan Pusat berapa banyak hendak diperuntukkan bagi menjayakan Sukma XXI,” katanya kepada pemberita semasa mengetuai delegasi kerajaan negeri Sarawak melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor.

Kunjungan itu bertujuan menyampaikan jemputan secara rasmi kepada kerajaan Negeri Sembilan serta mempromosikan Sukma XXI dan Para SUKMA.

Kedua-dua kejohanan itu masing-masing dijadualkan berlangsung mulai 17 hingga 24 Ogos ini dan 20 hingga 28 September melibatkan sembilan venue di negeri tersebut.

Kira-kira 15,000 atlet dan pegawai sukan akan berkampung di negeri itu untuk menyertai 37 jenis sukan yang dipertandingkan dalam 484 acara sukan. 

 Abdul Karim yang turut memegang portfolio pelancongan memberitahu, kerajaan negeri juga menjangka menerima limpahan pengunjung dalam kalangan peminat sukan sempena Sukma.

“Kami telah bersedia dan kerana itu penganjuran sukan ini diadakan di sembilan bahagian di negeri ini supaya industri pelancongan seperti hotel akan menerima kunjungan pelancong,” ujarnya.

Sementara itu, Aminuddin memberitahu, kontinjen Negeri Sembilan ke kedua-dua sukan itu merangkumi seramai 500 orang terdiri daripada atlet, jurulatih, pengurus, pasukan perubatan dan sekretariat.

Jelasnya, Negeri Sembilan akan mengambil bahagian dalam 30 acara sukan dengan sasaran pingat emas melebihi 19 dengan kedudukan antara 10 kontinjen terbaik.

“Saya harap kontinjen Negeri Sembilan di bawah pimpinan Mustapha dapat membuktikan kemampuan untuk berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN