Reformasi dinamika perlindungan keselamatan sosial negara

Reformasi dinamika perlindungan keselamatan sosial negara

Steven Sim menyantuni ahli keluarga dan menyampaikan faedah PERKESO kepada seorang pekerja ditimpa musibah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada penghujung Disember tahun lalu, saya melawat ibu bapa seorang mangsa kemalangan maut di tempat kerja. Mendiang baru berumur 28 tahun. Mendiang tempat sandaran ibu bapa yang sudah tua.

Bagi pihak PERKESO saya menyerahkan sumbangan manfaat kepada keluarga mendiang iaitu RM2,000 secara sekali bayar sebagai faedah pengurusan jenazah dan RM702 setiap bulan sebagai bayaran faedah orang tanggungan. Kedua-dua ibu bapa mangsa akan menerima faedah bulanan sehingga hujung hayat mereka.

Pada Januari lalu pula, saya melawat seorang suri rumah yang juga bekas kerani di sebuah syarikat agensi pekerjaan. Dia alami penyakit lumpuh seluruh anggota badan. Sekali lagi saya mewakili PERKESO menyampaikan faedah bulanan RM1,550 kepada keluarga beliau.

Musibah tidak memilih bulu, malang tidak berbau. Namun, apabila sesuatu yang tidak diingini berlaku, maka skim perlindungan keselamatan sosial bagai condong ditumpil, lemah dianduh, memberi lega di kala derita.

Perlindungan keselamatan sosial aspek penting misi strategik KESUMA

Dalam melaksanakan misi strategik 3K, yakni mengangkat kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja, Kementerian Sumber Manusia, ataupun KESUMA, meletakkan aspek perlindungan keselamatan sosial pekerja sebagai komponen penting.

Strategi menambahbaik perlindungan keselamatan sosial pekerja di bawah PERKESO terbahagi kepada 3 peringkat.

Menambahbaik dasar-dasar PERKESO sedia ada.

Pada Februari 2024, PERKESO melancarkan aplikasi telefon pintar (smartphone app), Prihatin sebagai pejabat ke-55 PERKESO.

Pelancaran pejabat maya ini diharapkan akan memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pencarum khususnya dan kumpulan pekerja amnya.

Melalui aplikasi Prihatin dan juga laman web PERKESO, kini pencarum boleh menyemak status caruman dan memuat turun penyata caruman mereka.

Malah, tekad menunaikan janji kerajaan Madani dalam Belanjawan 2024 untuk menaikkan had gaji caruman daripada RM5,000 sebulan kepada RM6,000 giat dilaksana.Pelan jangka sederhana: merancakkan kempen promosi skim keselamatan sosial PERKESO kepada lebih ramai pekerja dalam sektor gig dan sektor ekonomi ihsan.

Perdana Menteri, Dato‘ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 sebagai subsidi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO kepada pekerja sektor gig dan sektor bekerja sendiri.

Melalui subsidi tersebut, pekerja dalam sektor ini hanya perlu membayar RM23.30 setahun untuk caruman pelan kedua SKSPS, berbanding jumlah asal iaitu RM232.80 setahun. Bakinya akan dibiayai oleh Kerajaan. Dengan hanya RM23.30 setahun ataupun 6 sen sehari, pencarum boleh menikmati lapan (8) jenis faedah contohnya, faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan dan sebagainya.

Sistem perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh

Strategi peringkat ketiga ini mempunyai dua (2) komponen. Paling utamanya ialah rancangan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24- am kepada kaum pekerja, waima apabila bencana berlaku di luar waktu serta skop kerja sehingga mengundang keilatan dan menjejaskan daya upaya tulang belakang keluarga untuk menyara kehidupan seisi tanggungan.

Perlindungan keselamatan sosial 24-jam ini mampu memastikan kelangsungan hidup lebih baik jika berlakunya musibah terhadap seseorang pekerja sekali gus melengkapi sistem perkhidmatan kebajikan dan sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada.

Contohnya, dengan perlindungan keselamatan sosial 24-jam, seorang pekerja yang hilang upaya bekerja secara kekal boleh diberi faedah bulanan sehingga 90 peratus gaji bulanan mereka. – UTUSAN

 

Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN