Rangka manusia ditemukan dalam ladang kelapa sawit - Utusan Malaysia

Rangka manusia ditemukan dalam ladang kelapa sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Satu rangka manusia ditemukan orang awam di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, kira-kira pukul 2.10 petang, anggota bertugas di pejabat pertanyaan Balai Polis Gemas telah menerima panggilan dari orang awam memaklumkan telah menjumpai sebuah motosikal dan tengkorak dipercayai manusia tidak jauh dari motosikal tersebut di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan maklumat tersebut, pihak polis telah ke lokasi kejadian dan telah menjumpai rangka manusia dari pinggul hingga kaki di dalam parit kering selain sebuah motosikal jenis Yamaha LC 135 berwarna biru. 

“Turut dijumpai topi keledar dan tali pinggang serta tengkorak manusia. Jarak dari rangka manusia dengan motosikal dianggarkan lebih kurang 15 meter, rangka tulang belakang 10 meter serta tengkorak manusia lebih kurang 80 meter,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Amiruddien lagi, rangka si mati telah dihantar ke Bilik Mayat Jabatan Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA). 

Menurutnya, kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan masih diteruskan bagi mengetahui punca kematian.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN