BAGAN DATUK: Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menjadi pilihan ramai pengguna jalan raya untuk balik kampung dan pulang semula ke ibu kota sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jumlah kenderaan di lebuh raya itu meningkat semalam ketika orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti perayaan.
Ini menyebabkan berlaku kesesakan di Plaza Tol Hutan Melintang arah selatan lebuh raya itu mulai tengah hari.
Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, anggaran pengguna WCE sebanyak 150,000 sehari semasa Hari Raya Aidilfitri tahun ini telah melebihi jangkaan.
Menurutnya, pihaknya mengambil pelbagai langkah tambahan untuk memastikan aliran trafik berjalan lancar termasuk tiada pembinaan dan penyelenggaraan melibatkan penutupan lorong lebuh raya sehingga 17 April ini kecuali kerja-kerja kecemasan.
“Penyediaan jentera seperti trak tunda di beberapa lokasi strategik untuk membantu sekiranya berlaku sebarang insiden luar jangka, penambahan kakitangan sokongan dan pasukan bertindak kecemasan (ERT) serta pegawai peronda yang mencukupi di sepanjang lebuh raya untuk memberi sebarang bantuan kecemasan.
“WCE menyediakan kawasan hentian sebelah dengan kemudahan seperti tandas, surau dan gerai tambah nilai di setiap plaza tol,” katanya.
Di samping itu, pondok teduhan motosikal turut disediakan di sepanjang lebuh raya bagi kemudahan dan keselamatan pengguna motosikal terutama ketika hujan.
Sementara itu, tinjauan mendapati pengguna WCE memilih lebuh raya itu sebagai laluan untuk balik kampung dan kembali ke ibu kota kerana pelbagai faktor terutama keselesaan.
Maidon Muhamad, 57, dari Sungai Dulang di sini berkata, dia memilih WCE untuk balik ke Klang, Selangor setelah empat hari beraya di kampung.
Katanya, setiap kali balik beraya di kampung, dia memilih WCE kerana suasana jalan yang tenang dan pelbagai kemudahan disediakan.
“Rasa tenang melalui lebuh raya ini, kemudahan asasnya lengkap jika nak berehat apabila penat memandu. Memang sangat selesa memandu di WCE,” katanya.
Shahruzaman Hassan, 58, dari Kedah pula memberitahu, dia dalam perjalanan ke Nilai, Negeri Sembilan dan memilih WCE kerana keselesaan untuk perjalanan jauh.
“Menggunakan WCE saya rasa lebih selamat bagi pemanduan berkeluarga,” ujarnya. – UTUSAN











