PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melalui program Ramadan Trip telah mengedarkan 100 pek makanan kepada petugas Media Mulia Sdn. Bhd., semalam.
Menurut Ketua Pegawai Kewangan PPZ- MAIWP, Azhan Ismail, program itu diadakan untuk mengeratkan hubungan antara media dan PPZ-MAIWP.
“Kami di PPZ-MAIWP sangat bergantung kepada media dalam membantu kami untuk menyebarkan dakwah-dakwah berkaitan zakat terutamanya di Kuala Lumpur.
“Dalam menjamin hubungan dua hala kekal erat, kami memberikan sedikit juadah berbuka puasa untuk wartawan dan kumpulan-kumpulan media di sekitar Kuala Lumpur,” katanya ketika mengadakan kunjungan mesra ke Media Mulia, semalam.
Media Mulia merupakan media ketiga yang telah dikunjungi oleh PPZ-MAIWP melalui program itu.
Dalam pada itu, Azhan turut mengingatkan orang ramai agar menunaikan kewajipan zakat fitrah dan zakat harta sebelum terlambat. – UTUSAN










