Proses pemilihan tender ketat dan telus - DNB

Proses pemilihan tender ketat dan telus – DNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses tender dan perolehan Digital Nasional Berhad (DNB) adalah mengikut struktur piawaian tadbir urus dan amalan terbaik yang paling ketat.

DNB dalam kenyataan menjelaskan, Syarikat sentiasa terbuka dan telus dalam pemberian tender serta kontrak dan perkara itu telah beberapa kali disebut secara terperinci di Parlimen dan dilaporkan di media.

Jelasnya, pemberian kontrak peralatan rangkaian 5G melibatkan proses penilaian yang ketat, dengan Ericsson memperoleh skor tertinggi dalam semua prasyarat yang dikenakan.

“Proses tender yang berlangsung itu telah distrukturkan oleh firma perkhidmatan profesional global yang bebas melibatkan kira-kira 50 pakar tempatan dan antarabangsa dari 10 negara yang berpengalaman dalam pelaksanaan rangkaian 5G,” katanya.

DNB mengeluarkan kenyataan itu bagi menjelaskan beberapa dakwaan mengelirukan yang dibuat oleh Channel News Asia (CNA) dalam sebuah artikel bertajuk “Malaysia’s billion-dollar 5G roll-out stumbles as deal breaks down between powerful telcos, state-owned operator” yang diterbitkan pada 19 April dan kemudiannya dilaporkan oleh beberapa media lain.

Menurut DNB, proses itu juga telah disemak semula oleh pelbagai pihak termasuk semasa kajian semula dasar rangkaian 5G oleh Jemaah Menteri pada 2022 dan 2023.

Selain itu, menurutnya, proses berkaitan Perjanjian Langganan Saham (SSA) yang ditandatangani dengan lima  Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) pula masih berterusan sehingga kini.

Katanya, memandangkan kedudukan DNB sebagai syarikat awam yang berkhidmat untuk kepentingan umum, sebarang laporan yang diterbitkan seharusnya disahkan dan berdasarkan maklumat yang tepat.

“DNB kekal fokus dalam terus melaksanakan sebuah rangkaian 5G terbaik dan paling dipercayai di dunia dengan kadar dipercepatkan dan pada kos yang ditetapkan, serta meneruskan usaha untuk meningkatkan penggunaan 5G dalam kalangan industri, perusahaan dan masyarakat awam, sekali gus membantu mempercepatkan transformasi digital negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×