HULU SELANGOR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu akan menguji dua parti gergasi iaitu Pakatan Harapan (PH) daripada Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) untuk merebut kerusi tersebut pada 11 Mei ini.
Jika berlaku pertembungan lebih dua penjuru pada penamaan calon hari ini, kehadiran calon-calon lain hanya dilihat sekadar ‘mengambil pengalaman’.
PH dan PN menjadi tumpuan apabila masing-masing menampilkan calon berlawanan bukan sahaja jantina, tetapi juga kaum apabila naratif jumlah pengundi antara kedua-dua kumpulan Cina dan Melayu menjadi sandaran.
Bagaimanapun, tindakan PH meletakkan Pang Sock Tao sebagai calon dilihat tidak meredakan sentimen perkauman kerana DAP sebelum ini dipercayai akan meletakkan calon Melayu.
Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) kekal dengan pendirian meletakkan calon daripada pengundi kaum majoriti, iaitu Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhar Saut walaupun sebelum ini ramai pemerhati terganggu dengan kenyataan Gerakan mahu meletakkan calon.
Naib Pengerusi DAP Selangor, Ganabatirau Veraman berkata, sebagai pimpinan di peringkat negeri, beliau dan anggota akar umbi bersedia menyokong Sock Tao untuk memastikan kemenangannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
GARISAN
“Memang kita kena keluar daripada garisan pemisah perkauman. Jadi, DAP memang mempunyai ahli parti yang berdisiplin dan patuh dengan kepemimpinan utama. Kita akan terus bekerja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurut beliau, usaha untuk memperkenalkan calon dan meraih pengundi pada kempen pilihan raya kali ini akan ditingkatkan selepas pelbagai jangkaan dan amaran diberikan termasuk kenyataan dikeluarkan Bendahari DAP Selangor, Ong Kian Ming.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, Kian Ming mendakwa PH bakal berhadapan dengan cabaran sukar untuk mempertahankan Kuala Kubu Bharu ekoran persekitaran politik yang tidak lagi memihak kepada gabungan tersebut.
Menurutnya, DAP akan memperoleh majoriti kurang daripada 1,000 undi sekiranya kembali memenangi kerusi itu.
Sementara itu, Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, tidak sewajarnya timbul hal berkaitan dengan perkauman apabila pengundi di Kuala Kubu Bharu menerima calon Cina sebagai wakil rakyat lebih daripada tiga penggal.
“Memang sudah tiga kali wakil rakyat di Kuala Kubu Bharu adalah dalam kalangan masyarakat Tiong Hua (Cina), sebelum itu pun Tiong Hua pada 2008 dan sebelum itu juga Tiong Hua.
“Jadi tiada isu untuk meletakkan calon Tiong Hua cuma mesej dan maklumat akan diteruskan (disampaikan kepada pengundi dan penduduk) di Kuala Kubu Bharu,” katanya ketika ditemui, semalam.
MENOLAK
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Parti Bersatu, Datuk Razali Idris menolak perkara tersebut, sebaliknya berpandangan ia tidak mempunyai kaitan dengan cubaan meredakan sentimen perkauman.
“Tidak wajar mereka berpandangan tersebut apabila saya percaya pengundi merasakan tertipu kerana pada peringkat awal DAP dikatakan akan meletakkan calon Melayu untuk bertanding di Kuala Kubu Bharu.
“Tetapi, berlaku sebaliknya pada hari pengumuman calon dan tindakan tersebut sehingga kini menimbulkan persoalan dalam kalangan pengundi di sini. Tindakan itu seolah-olah seperti satu provokasi.
“Sebagai contoh, apabila berbangkit isu bak kut teh yang dijadikan sebagai makanan warisan, MCA begitu lama dalam kerajaan tidak pernah mengangkat isu sedemikian kerana memahami sensitiviti orang Melayu, tetapi apabila DAP jadi kerajaan ia diangkat. Kenapa tidak diangkat Kuih Bakul sebagai makanan warisan negara?,” soalnya.
Untuk rekod, sejak 1974 DUN Kuala Kubu Bharu pertama kali diwakili oleh Barisan Nasional (BN) melalui calon daripada MCA iaitu, Chan Keong Hon, Pan Su Peng, Choo Yong Fatt, Wong Ah Taih, Ch’ng Toh Eng dan Wong Koon Moon.
Kemudian pada 2013, BN tewas di situ kepada mendiang Lee Kee Hiong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang turut mempertahankan kerusi tersebut pada PRU14 dan PRN pada Ogos 2023 sebelum meninggal dunia pada 21 Mac lalu.
PRK kali ini, berdasarkan daftar pemilih yang ditetapkan bagi pengundian sehingga Februari lalu, seramai 40,266 pengundi layak keluar mengundi hari pengundian awal, 7 Mei dan pilihan raya pada 11 Mei
PRK Kuala Kubu Bharu diadakan selepas penyandangnya Lee Kee Hiong dari Pakatan Harapan (PH) meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser. – UTUSAN










