Polis Johor tahan 46 suspek terlibat judi, loteri - Utusan Malaysia

Polis Johor tahan 46 suspek terlibat judi, loteri

M. KUMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini menahan seramai 46 suspek yang disyaki terlibat aktiviti judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua suspek ditahan dalam Op Dadu Khas yang dijalankan secara serentak di beberapa lokasi, semalam.

“Semua yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 18 hingga 64 tahun. Seorang daripada wanita itu merupakan warga Indonesia.

“Operasi ini menyasarkan premis yang dipercayai menjalankan kegiatan judi dalam talian dan loteri awam tanpa lesen. Tindakan pemotongan bekalan elektrik dan pembatalan lesen perniagaan turut dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kumar memberitahu, pihaknya turut merampas 22 mesin pencetak, 42 telefon bimbit, 102 helai kertas catatan dan wang tunai berjumlah RM6,935.

“Semua suspek yang ditahan akan dikenakan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sejak awal tahun hingga semalam, pihaknya telah melakukan sebanyak 770 serbuan dan berjaya menahan seramai 1,102 suspek berserta wang tunai berjumlah RM291,780. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×